“15 kali masuk ICU” Ibu Gigih Jual Kek Di Kaki Lima Demi Tampung Kos Rawatan Anak OKU

Setiap insan yang bergelar ibu akan melakukan apa sahaja demi melihat anaknya sihat dan ceria apatah lagi bila mengetahui anaknya menghidap penyakit, tentu dia adalah sosok yang paling risau.
Iospital phone repair gombak
Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang suri rumah bernama Zahrah Mohd Jamian yang berhempas pulas mencari rezeki membantu suami mencuri perhatian ramai.

Menurut sumber, dia membuat kek dan menjualnya di kaki lima premis untuk membantu menyara keluarga terutamanya anak sulung mereka Nur Zetty Shazlily, 15, yang juga orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak berumur tiga tahun.


Difahamkan, Nur Zetty menghidap penyakit jarang jumpa iaitu sindrom Dravet. Kerana terlantar, tulang belakangnya mulai senget dan dia juga diserang sawan setiap hari.

Anak sulungnya itu dilahirkan normal seperti kanak-kanak yang lain malah aktif namun situasi mula berubah apabila dia mendapatkan suntikan ketika berumur tiga bulan.

Kini, suaminya Muhammad Zakri Saimon, 47, bekerja sebagai pengawal peribadi dan dia menjaga serta menguruskan Nur Zetty di rumah.

“Empat jam selepas terima suntikan, Nur Zetty diserang sawan dan kami bawanya ke hospital untuk pemeriksaan.”

“Bagaimanapun, ubat diberi tidak serasi menyebabkan sawannya berulang.”

“Sedihnya kerana dia lahir normal malah sempat berjalan dan berlari sehingga berumur tiga tahun. Namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ditemui di rumah sewanya dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini.

Setakat ini, Nur Zetty telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 15 kali dan disebabkan itu Zahrah dan suami berikhtiar melakukan rawatan alternatif dengan menggunakan rawatan swasta bagi menjalani beberapa terapi namun kos perbelanjaan bukanlah murah.


“Tahun lalu, doktor pakar sahkan tulang belakang Nur Zetty bengkok 60 darjah dan anak kami disyorkan untuk menjalani pembedahan pada bahagian itu (tulang belakang).”

“Bagaimanapun, saya dan suami tidak berani ambil risiko kerana ia membabitkan nyawa. Kerana itu kami bawanya menjalani terapi,” katanya.

“Doktor memaklumkan mustahil untuk sembuh namun pakar dalam bidang terapi mengatakan masih ada peluang. Saya pula tidak minta lebih, memadai jika Nur Zetty dapat duduk dan sihat,” katanya yang jual kek tampung kos rawatan.

Keuntungan yang diperolehi hasil menjual kek bukan sahaja digunakan untuk kos rawatan anak sulungnya malah disimpan untuk kegunaan lima anak yang masih bersekolah.

“Saya berniaga setiap hari di kaki lima premis sekitar Petaling Jaya daripada jam 6 petang hingga 10 malam dengan ditemani anak.”

“Saya tidak berniaga di tempat sama kerana bukan semua kawasan sesuai malah barangan jualan pernah dirampas pihak berkuasa berikutan aduan orang ramai.”

“Itu antara cabarannya malah pernah juga tiada kek terjual dan saya sedekahkan ia kepada gelandangan,” katanya yang menghasilkan kek selepas pulang berniaga.

“Mulanya memang susah untuk menerima ujian ini memandangkan ia menimpa anak sulung.”

“Itu belum lagi cemuhan orang lain kerana Nur Zetty OKU. Bagaimanapun, pengalaman mendewasakan dan mengajar saya untuk terima ketentuan Allah SWT dengan lapang dada,” katanya

Bagi sesiapa yang ingin membantu menyalurkan dana, boleh menghubungi Zahrah atau Muhammad Zakri di talian 011-19526330.

Semoga kita sama-sama dipermudahkan urusan dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan hendaknya.