15 Maut Di Selangor Akibat Alkohol, 33 Lagi Dirawat

Lima belas orang lelaki meninggal dunia manakala 33 orang lagi dimasukkan ke hospital dipercayai akibat keracunan arak di beberapa buah kawasan di Lembah Klang sejak semalam, lapor Kosmo.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.

Beliau berkata tujuh orang mangsa telah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, empat orang meninggal dunia di Hospital Kajang dan empat lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Selayang.

“Mangsa pertama yang merupakan pekerja sebuah kilang di Sungai Buloh maut sekitar pukul 7 malam semalam dan laporan mengenai kematian itu dibuat oleh majikannya. Kemudian, dua lagi kematian berlaku malam tadi.

Katanya, 33 orang lagi mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh (15 orang), Hospital Kajang (15 orang), Hospital Selayang (seorang), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (seorang) dan Hospital Shah Alam (seorang) kerana mengalami simptom yang sama.

“Pagi tadi didapati berlaku tiga lagi kematian, seorang lagi mangsa dilapor maut sekitar pukul 4 petang tadi dan yang terbaharu sehingga pukul 5 petang ini, jumlahnya mencecah sehingga 15 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, hasil maklumat yang diperoleh, kesemua mangsa dipercayai meminum dua jenis wiski dan satu jenis bir. Beliau berkata, kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat terhadap mangsa.

“Laporan rasmi mengenai punca kematian masih belum diperoleh, namun begitu siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang dimasukan ke hospital adalah akibat minum minuman keras.

Foto: Berita Harian

“Pemeriksaan juga sedang dijalankan di kedai-kedai yang berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian yang dilaporkan bermula sekitar jam 7 malam tadi, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil arak daripada tiga jenama iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.