[VIDEO] Cetus Provokasi Melampau, 18 Pekebun Durian Musang King Ditahan

Serama 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King telah ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang, semalam.

Dalam satu kenyataan, jabatan tersebut memaklumkan, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk  membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

“Oleh itu, beberapa laporan polis dan rakaman video diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

“Untuk hari ini (semalam) sahaja, jabatan menahan seramai 18 orang yang disyaki pekebun haram kerana telah memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau kepada anggota,” kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, klip video menggunakan tajuk ‘Penceroboh Tanah Haram’ yang mendakwa pekebun menengking dan mencaci petugas menjalankan operasi memusnahkan tanaman di atas tanah Hutan Simpan Kerajaan Negeri Pahang di Raub, tular dalam media sosial.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua 18 pekebun itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.

“Pegawai penyiasat jabatan akan menjalankan tugas-tugas siasatan selanjutnya bagi memastikan kesemua pekebun haram ini dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” tegasnya.

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Klip video tular di Facebook

Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Tambah kenyataan itu, operasi berkenaan bertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram di samping anggota operasi akan membuat tangkapan ke atas mana-mana individu atau pekebun yang memasuki kedalam kawasan HSK tanpa kebenaran.

“Barang dan kenderaan yang dibawa bagi apa-apa tujuan ke dalam kawasan HSK juga akan disita,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Mahkamah Majistret Raub pada Isnin membenarkan 18 pekebun durian musang king direman dua hari sehingga Selasa.

Kesemua mereka ditahan pada Ahad selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Tahanan terbabit dibawa menaiki trak polis tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11 pagi dan suasana agak kecoh dengan provokasi dilemparkan oleh beberapa individu terhadap pihak berkuasa.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui ditahan tetapi dilepaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah malam.

Hadir sama memberikan sokongan kepada pekebun-pekebun terbabit ialah Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew.

Default image
admin
Articles: 818