“5 hari atas siling tak ada makanan,” 17 Tahun Bela, Air Mata Pakcik Ini Jumpa Kucing Miliknya Selepas Banjir Buat Netizen Sebak

Baru-baru ini negara kita mengalami fasa sukar dan berduka apabila beberapa buah negeri di Malaysia ‘ditenggelamkan’ oleh musibah banjir.

Banyak kawasan yang terjejas terutamanya di kawasan lembah Klang serta ribuan mangsa juga turut terasa ‘peritnya’. Malah lebih menyedihkan, ada juga nyawa-nyawa yang tidak berjaya diselamatkan.

Dapat kita lihat menerusi video-video yang tersebar di media sosial dimana terdapat tanah runtuh, penutupan jalan, pokok tumbang, rumah yang ‘lesap’ dibawa arus deras, dan air banjir meningkat sehingga ke paras bahaya dimana kenderaan yang berada di kawasan parkir mahupun di jalan raya tenggelam.

Bukan itu sahaja malah selepas banjir surut, banyak haiwan yang ‘tewas’ dan kebanyakkannya adalah kucing yang tidak sempat melarikan diri.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana memaparkan seorang pak cik yang bertemu semula dengan kucing peliharaannya selepas 5 hari terpisah ketika banjir.

Menerusi perkongsian YOY, satu video yang dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook iaitu Aziah Lia, kucing perliharaan bapanya itu dijumpai dalam keadaan selamat apabila sempat berlindung di atas siling rumah.

Bagaimanapun, kucing tersebut kelihatan sangat lemah kerana tidak makan ketika banjir menenggelamkan kediaman.

Apa yang lebih membuatkan netizen bertambah sebak adalah pak cik itu menangis sambil memeluk kucingnya lalu segera mencari makanan untuk kucingnya kerana kelihatan tidak berdaya.

Usaha pak cik ini tidak terhenti disitu sahaja, dia turut membawa kucing yang berusia 18 tahun itu ke klinik haiwan untuk diberikan rawatan kerana keadaannya sangat lemah tetapi kemudian kucing itu telah mati dipangkuan pak cik tersebut.

Berikut merupakan video yang tular:

Menerusi satu lagi perkongsian, seorang pengguna Twitter memberitahu pakcik tersebut membela kucing itu selama 17 tahun.

“Kucing pakcik ni dah meninggal semalam. Kami tolong gi cuci rumah dia, habis kerja dia pun ajak bersembang. Dia bgtau video dia viral kat tiktok. Baru la tahu. Dia tunjuk kubur kucing, dia tanam sebelum kami sampai utk buat kerja cuci rumah.”

“17 tahun kucing tu pakcik ni bela, dari kecik sampai besar. Anak cucu kucing tu ada yg dah mati, tp kucing tu panjang umur sampai la ajal dia semalam. Btw, nama kucing tu Kopi.”

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 217.2K tontonan, 5748 tanda suka dan 3287 ulang kicau di applikasi Twitter.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen yang terdiri daripada pencinta haiwan turut sebak melihat pak cik itu yang menangis kerana kehilangan kucing tercinta.

 

Berikut merupakan komen warga maya: