“Aku sendiri dalam keadaan memerlukan,” Perkongsian Terakhir Adibah Noor Jadi Perhatian Netizen

“Kerana aku sendiri dalam keadaan yang memerlukan,”.

Itu antara perkongsian terakhir penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor di Twitter pada Isnin lalu.

Begitu pun, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu, pada ketika itu tidak memaklumkan tentang keadaannya yang menderita kanser Ovari tahap empat.

“Maaf, kali ini aku tak dapat tolong. Moga Allah permudahkan urusan mu,” tulisnya.

Arwah pada masa yang sama sempat membalas komen pengikut dan peminatnya di ruangan tersebut.

“Semoga Allah perkenankan, terima kasih atas doa kamu,” kata Adibah.

Perkongsian itu seakan-akan memberi bayangan bahawa dia akan pergi menemui pencipta petang tadi.

Pemerhatian mendapati komen sehingga hari ini dibanjiri ucapan takziah dan doa buat penyanyi tersebut.

Berita duka disahkan rakan artis, Datin Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada Datuk AC Mizal menerusi laman Facebook.

“Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di hospital sebentar tadi,” katanya yang dalam perjalanan ke pusat perubatan swasta itu.

Mengikut sumber, arwah menghidap kanser ovari dan kini sudah berada pada tahap empat, namun, merahsiakannya.

Arwah sempat menulis ciapan terakhir, mengucapkan salam takziah buat pelakon legenda Hamid Gurkha yang meninggal dunai Rabu lalu.

Terdahulu, Adibah Noor berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg) dengan mengamalkan pemakanan sihat dalam tempoh dua bulan lalu.

“Ya, berat badan turun 18kg berikutan pemakanan sihat yang diamalkan sejak bulan puasa lalu.

“Saya tidak mengambil gula dan mengehadkan enam suapan sahaja setiap kali makan.

“Saya merasakan sudah tiba masanya saya menjaga kesihatan kerana sudah berusia, itu sahaja,” katanya.

Berkongsi amalan pemakanan, Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar berkata, dia menjauhkan minuman bergula dan makanan diproses.

“Saya mencari makanan dimasak segar dan tak makan makanan diproses atau dalam tin.

“Misalnya, jika saya mahu makan burger, saya cari gerai yang buat daging burger sendiri, bukan daripada dalam plastik sudah siap.

“Kalau dahulu, nasi lemak saya makan tiga bungkus. Sekarang, cuma satu bungkus sahaja,” katanya.

Terdahulu, Adibah berkongsi gambar terkini dalam laman Instagram, menerima pelbagai maklum balas netizen yang terkejut dengan imej baharu itu.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Terlalu Istimewa bersyukur, gambar itu mampu memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk mengamalkan pemakanan sihat.

“Alhamdulillah. Nasihat saya, boleh turunkan berat badan tanpa perlu makan pil atau jus kurus.

“Tetapi, kena kuatkan semangat dan banyak sabar. Nak gemuk ambil masa, nak kurus pun begitu, bukan boleh berlaku sekelip mata,” katanya.