Jaga Hingga Hujung Nyawa, Harith Iskander Sedih Anjing Kudung Sudah Tiada

Standup comedian dan juga pengacara popular, Harith Iskander meluahkan rasa sedih apabila anjing kudung peliharaannya bersama keluarga telah mati.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagram, Harith berkongsi berita duka mengenai anjing yang diberi nama Marvella itu untuk tatapan umum.

Menurut Harith, Marcella merupakan anjing betina kudung kedua-dua kaki depannya dan telah diselamatkan oleh seorang penjaga haiwan.

“Hari yang sangat sedih dengan hati yang kecewa, saya ingin memberitahu #marvellathewonderdog tidak lagi bersama kami.

“Dia masuk ke keluarga kami pada Jun 2020 dan terus menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Dia baik, berani dan peramah.

“Dia seolah tidak tahu dia tidak memiliki kaki depan.

“Kami ingin berterima kasih kepada @nurullainaabdulhamid kerana telah menyelamatkannya dan kemudian memberi dia kepada kami.

“Terima kasih Marvella telah ajar kami tentang rasa bersyukur. Terima kasih telah bawa senyuman dalam keluarga kami dan semua yang telah bertemu dengannya.

“Kami merinduimu,” tulis Harith di ruangan kapsyen.

Di dalam perkongsian itu lagi, Marvella yang tidak mempunyai dua kaki depan bergerak menggunakan kereta roda yang dibuat khas untuknya.

Marvella juga ada ketikanya ditolak menggunakan kereta sorong bayi dan kaki depannya yang dikudung dibalut dengan tuala.

Pada masa sama, Harith turut memberikan ucapan penghargaan kepada anjingnya yang selama ini telah menjaga rumah dan anak-anaknya dengan baik.

Tinjauan di ruangan komen, pemergian Marvella mengundang rasa sebak rakan selebriti dan netizen.

So sorry to hear this. She must have loved you all so much,” komen Che Puan Sarimah Ibrahim.

Dia mesti mendoakan bro dan famili di syurga nanti. Dia tunggu di sana,” luah seorang wargamaya.

“Awak dan keluarga telah memberi kesempatan kedua buat Marvella menikmati hidupnya. Semoga keluarga awak diberkati selalu,” doa seorang wargamaya.

Masyallah, terima kasih sebab berbuat baik pada anjing ni. Sudah tentu you seorang yang penyayang,” kata seorang wargamaya.

Kehilangan yang cukup terasa. Semoga Marvella berada di tempat yang lebih baik. Terima kasih Harith sekeluarga telah menjaganya dengan baik,” tulis seorang wargamaya.

Saya baru cerita pada isteri saya yang awak menjaga anjing kudung dengan baik. Marvella telah tiada. Semoga Allah balas segala kebaikan yang telah awak berikan,” ujar seorang wargamaya lagi.

BACA: [VIDEO] “Aku yang bela, bukan kau” Isu Bela Anjing, Alicia Amin Jawab Netizen

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah menerima hampir 17,009 tanda suka daripada pengikutnya di laman Instagram.