Berang Kena Hon, Pemandu Kancil Hentak Parang Di Bonet Kereta Orang Siap ‘Payung’ Drift

Isu pembuli jalan raya semakin berleluasa saban hari. Ada sahaja yang hendak dilakukan demi menunjukkan lagak samseng mereka di atas jalan raya.

Terdahulu tular seorang lelaki memecahkan cermin kereta seorang wanita di sebuah persimpangan. Tidak reda lagi isu tersebut, kini timbul sebuah lagi kes mengenai pembuli jalan raya.

Baru-baru ini, tular sebuah video dimana sebuah kenderaan perodua kancil berwarna merah yang dikatakan tidak berpuas hati dengan salah satu pengguna jalan raya sehingga membuat aksi di luar kawalan mencuri perhatian ramai.

Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook A-jamp MrAj, dapat kita lihat, kenderaan jenis Perodua Kancil yang berada di arah berlawanan pada awalnya telah menghalang kenderaan yang dinaiki pemandu kereta dihadapannya.


Bertindak lebih agresif, lelaki tersebut mengeluarkan sebilah parang sebelum menghentaknya di bonet depan kenderaan terbabit.

Menerusi laporan dari TVS, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili memaklumkan yang pihak polis telah berjaya menahan lelaki yang mengamuk terbabit di rumahnya kira-kira tengah hari semalam.

Difahamkan, lelaki tersebut dikatakan berang apabila mangsa membunyikan hon kepadanya di Jalan Lanang Sibu.

“Pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang mendakwa keretanya telah ditetak oleh suspek yang tidak dikenali di lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, parang yang digunakan untuk menakutkan mangsa bagaimana pun telah dirampas pihak berkuasa. Polis juga telah menyerbu rumah lelaki berkenaan selepas mendapat laporan berkenaan insiden tersebut.

Zulkipli berkata, suspek akan direman mulai 3 Ogos bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen turut seram melihat ‘perangai’ manusia zaman sekarang yang mampu bertindak tanpa berfikir baik buruk sesuatu perkara.

Bukan itu sahaja, netizen juga geram dengan sebilangan pembuli jalan raya yang ingin menunjukkan lagak samseng bahkan membahayakan pengguna jalanraya yang lain.

Antara komen warga maya:

“kancil pun boleh drift..”

“amboiii.. tak padan dengan kereta kancil pulak nak jadi samseng jalanan..”


Video yang tular: