“Ada orang buat laporan polis,” Caprice Batal Buat IG Live Malam Ini

Sejak dari minggu lepas, kecoh di media sosial mengenai isu di antara penyanyi rap, Caprice yang ingin mendedahkan sesuatu mengenai kehadiran Ebit Lew bersama pasukannya di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Terbaru, penyanyi rap Caprice memohon maaf kerana dia terpaksa membatalkan sesi Instagram Live pada pukul 10 malam ini.

Terdapat individu yang membuat laporan polis terhadap dirinya

Caprice memberitahu bahawa dia tidak dapat untuk membuat Live seperti yang telah dijanjikan kerana terdapat individu yang telah membuat laporan polis terhadap dirinya.

“Minta maaf guys, ada orang yang sudah buat laporan polis dan Caprice tak dapat buat Live pukul 10 malam ini. InsyaAllah kebenaran akan terbongkar dengan sendirinya.”

 

Caprice kecewa sesetengah pihak guna kuasa sembunyikan individu lain

Namun, Caprice turut mengatakan bahawa dia telah meminta maaf kepada pihak yang terlibat kerana tidak mahu keruhkan lagi keadaan.

Walaubagaimanapun, dia berasa kecewa dengan sesetengah pihak yang telah menggunakan kuasa untuk menyembunyikan nama individu lain.

“Caprice dah minta maaf dan tak nak keruhkan keadaan lagi. Tapi kita sangat kecewa dengan pihak-pihak yang berguna kuasa untuk sembunyikan orang lain.”

Caprice cukup penat

“Ni adalah kali kedua benda macam ni berlaku tahun ni. Caprice dah cukup penat dan serah semua kepada Allah.”

“Saya pilih untuk maju kehadapan untuk menjadi lebih baik.”

“Saya tidak pulih sepenuhnya daripada pengalaman yang dilalui tapi InsyaAllah saya akan berada dalam keadaan yang baik dari segi mental dan fizikal.”

Ustaz Ebit Lew nafikan tuduhan

Terdahulu, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh beberapa individu sebagai tidak benar dan bersifat fitnah semata-mata, petang tadi.

Menerusi muatnaik video live di laman Instagram miliknya, Ebit berkata tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali sekali gus menyangkal dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Segala pertuduhan tidak benar, saya ada bukti

“Segala pertuduhan itu tidak benar, saya ada bukti. Hari ini, saya buat laporan polis dan polis minta saya agar tidak memanjangkan lagi isu ini.”

“Jadi, saya serahkan kes ini kepada peguam untuk tindakan selanjutnya sama ada untuk saman malu atau sebagainya.”

“Selagi pegawai penyiasat belum rakam percakapan, saya tak boleh bercakap lebih-lebih hari ini.”

Saya tidak buka tabung untuk Gaza, saya guna duit saya sendiri

“Lagi satu saya nafikan bahawa saya tidak membuka satu pun tabung untuk Gaza, semua kerja amal saya ke sana guna duit saya sendiri,” ujarnya kepada pemberita sebentar tadi.”

Terdahulu beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 6.15 petang dengan kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih dengan diiringi dua buah kenderaan lain.

Jelasnya, laporan polis itu dibuat berkisar kepada dakwaan yang dibuat oleh Caprice atau pemilik nama sebenar, Ariz Ramli dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Anak dan isteri kecewa dan menangis tentang tuduhan ini

Bagaimanapun beliau bersedia membuat penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan Nadir terhadap beliau esok.

“Sebelum ini saya sememangnya berdiam diri terhadap sebarang tohmahan dan fitnah terhadap diri saya.”

“Dari dulu lagi namun berkaitan isu terbaru ini apabila saya tiba dari Gaza, anak dan isteri saya sendiri tidak dapat menahan kekecewaan dan menangis tentang segala tuduhan yang datang, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis hari ini.”

Laporan polis sebagai sangkal dakwaan tidak benar

“Laporan (polis) ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin dan meminta polis menyiasat segala fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan.”

“Dalam laporan polis itu, saya telah memberikan nama-nama serta mereka yang memetik dan berkongsi segala kenyataan fitnah pihak itu kepada pegawai penyiasat untuk membantu siasatan polis,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Beliau tidak berniat bergaduh atau bermusuh

Menurut Ebit lagi, beliau yang tidak berniat bergaduh atau bermusuh dengan sesiapa sebenarnya sedih dengan laporan-laporan tidak berasas yang disebarkan dalam media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.

“Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.”

“Segalanya akan saya perjelaskan esok sama ada secara live platform sendiri atau ada orang lain yang membenarkan menerusi platform mereka.”

Kita akan mulakan tuduhan sivil kepada pihak ulangi fitnah

Sementara itu, Datuk Hasnal Rezua Merican selaku peguam yang mewakili beliau berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan jika wujud unsur-unsur fitnah berbentuk jenayah terhadap anak guamnya.

“Kita akan mulakan tuduhan sivil kepada mana-mana pihak yang mengulangi fitnah terhadap anak guamnya dan akan heret mereka yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah,” ujarnya.