Dakwa Ronda Neraka, Jumpa Malaikat & Nabi, Pengasas PMYT Diambil Tindakan

Baru-baru ini, telah tular di media sosial mengenai ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) oleh seorang wanita yang dikenali dengan nama Sittah Annur.

Perkara telah tular kerana pengasas ajaran sesat itu telah mendakwa dirinya berjumpa Malaikat dan Nabi Muhammad di dalam mimpi.

Difahamkan, pihak polis juga telah mengenal pasti individu yang terlibat dengan isu tersebut.

Ustazah Asma’ Harun beri respon isu Perjalanan Mimpi Terakhir

Terbaru, Ustazah Asma’ Harun telah memberi respon berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Hal berkenaan telah mendapat perhatian pendakwah wanita iaitu Ustazah Asma’ Harun untuk mengulas isu tersebut.

Ia boleh mendatangkan hukum syirik dan sentuh sesitiviti umat islam

Menerusi perkongsian Ustazah Asma Harun di akaun Facebook, dia berasa agak bimbang dengan kemunculan kumpulan PMYT.

Ini kerana ia boleh mendatangkan hukum syirik dan boleh menyentuh sensitiviti umat islam.

Bahkan ada yang mendakwa untuk keluar bersama berperang jika munculnya perang dunia ke-3 sedangkan kita sebagai wanita diwajibkan untuk dikurung dan bersembunyi jika berlakunya hari kiamat.

Dia mendakwa dirinya bertemu dengan Malaikat dan Nabi Muhammad SAW

“Dia mendakwa dirinya beryaqazah (bertemu secara sedar) dengan malaikat dan Nabi Muhammad SAW. Antara mimpinya juga adalah mengenai keadaan syurga dan neraka.”

“Beliau sempat meronda di dalam mimpinya dan mengakui telah mengetahui bila tarikh kematiannya dan anaknya malah huru-hara yang akan berlaku pada hari kiamat.”

Mimpi hanya boleh ditakwilkan golongan yang dikurniakan Allah SWT

“Mimpi hanya boleh ditakwilkan oleh segolongan yang dikurniakan Allah SWT untuk mengetahui akan rahsia-rahsianya.”

“Sungguh, hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja mimpi benar yang boleh dijadikan sebagai sumber hukum dan hujah syarak.”

Orang biasa seperti kita pasti tidak mampu melepaskan diri dari hasutan syaitan

“Manakala orang biasa seperti kita, pasti tidak mampu untuk melepaskan diri daripada hasutan syaitan yang boleh menggugat kesahihan takwilan mimpi.”

“Katanya lagi, Sittah Annur menyatakan dia mampu mentafsir mimpi dan tahu bilakah tarikh kematiannya dirinya dan keluarga sedangkan mimpi-mimpi itu adalah rahsia Allah SWT dan tidak boleh dijadikan hujah kerana terlalu banyak hasutan syaitan.”

Sikap tak apa dan tidak cakna bakal datangkan mudarat besar

“Tuan Puan, fahaman ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan ianya berkait dengan aqidah.”

“Sikap “tak apa” dan tidak cakna terhadap isu ini bakal mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.”

Kebatilan dan kebenaran bercampuk aduk sebabkan masyarakat keliru

“Di media sosial hari ini, serangan terhadap agama Islam berlaku sangat hebat.”

“Kebatilan dan kebenaran seakan bercampur aduk dan menyebabkan masyarakat menghadapi kekeliruan yang sangat besar.”

Umat Islam perlu lebih cakna dan berilmu

Maka, sebelum bibit ini berakar umbi dan meracuni generasi kita akan datang, umat Islam perlu lebih cakna dan berilmu.

Ini kerana untuk menghalang daripada berlaku pertembungan serta kesalah fahaman tentang agama Islam yang mulia.

Duhai ibu ayah dan penjaga

“Kita perlu tahu tentang kewujudan fahaman ini. Banteraslah segera. Perhatikanlah sekeliling kita.”

“Adakah kita menjamin anak-anak kita selamat? Orang sekeliling kita selamat? Sedangkan siapa sangka mereka boleh sahaja terlibat dan terpengaruh tanpa pengetahuan kita.”

“Saya bukan ingin menakutkan, ini juga peringatan keras untuk diri saya sendiri. Kita perlu bangkitkan kesedaran Islam yang sebenar buat anak-anak dan orang sekeliling.”

Hal ini telah diambil tindakan oleh para mufti

Walau bagaimanapun, Ustazah Asma’ Harun meluahkaan rasa syukur kerana hal ini telah diambil tindakan oleh para mufti.

Ia sekaligus mengajak umat islam untuk terus menambah ilmu agama agar tidak mudah terpesong dengan ajaran-ajaran sesat seperti ini dan hidup berlandaskan pegangan Al-quran.

Semua pihak berkuasa agama tidak berkompromi dengan ajaran sesat

“Syukur Menteri Agama, Ustaz Idris Ahmad telah menegaskan untuk menyelamatkan aqidah kumpulan ini melalui pendekatan kaunseling dan pendidikan buat mereka.”

“Bahkan semua pihak berkuasa agama tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang ajaran sesat. Sungguh, inilah tindakan yang tepat dan patut dibuat.”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan kegusaran mereka berhubung isu berkenaan.

Mereka juga berasa lega apabila tindakan oleh pihak berkuasa agama telah diambil untuk meneliti isu berkenaan dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menahan suspek kira-kira jam 1.10 pagi bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak polis turut membuat rampasan lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721.42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan oleh suspek semasa membuat Live Facebook.

“Siasatan juga mendapati wang diterima suspek menerusi rampasan resit pemindahan wang itu adalah hasil derma daripada ahli yang menyertai kumpulan ajarannya itu.

“Peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Basri berkata, permohonan tahanan reman terhadap suspek dipohon dan dibenarkan oleh Majistret Kuala Lumpur selama empat hari sehingga 7 September ini.

“Tangkapan suspek bagi membantu siasatan di mana setakat ini enam laporan polis diterima berkaitan isu yang sama dibuat di lima balai polis berasingan.

“Suspek dalam kes ini sebelum tangkapan dijalankan ada membuat laporan polis penafian dan menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan dan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, suspek menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Default image
admin
Articles: 750