Dakwaan Guna Kenderaan Kerajaan Untuk Kempen PRK, SPR Pandang Serius!

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata SPR memandang serius laporan pihak yang mendakwa berlaku pelanggaran peraturan dan etika kempen pilihan raya seperti penggunaan aset kerajaan, lapor Astro Awani.

Azhar berkata beliau sudah meminta Malaysian Corruption Watch (MCW) yang merupakan pemerhati Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands untuk memberi maklumat dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan susulan dapat diambil.

Perkara ini adalah susulan dakwaan kenderaan Jabatan Perhutanan digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk berkempen dalam PRK Cameron Highlands.

“Selain itu, SPR juga dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh calon Barisan Nasional pada 21 Januari 2019 bagi membolehkan satu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.

“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Minggu lepas, viral di Facebook satu video yang menunjukkan kenderaan dengan pelekat logo PH pada panel pintu kenderaan Jabatan Perhutanan digunakan semasa berkempen.

Dalam pada itu, pihak kerajaan Pahang sudah mengesahkan bahawa kenderaan berkenaan milik Jabatan Perhutanan dan meminta ia dipulangkan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.