[VIDEO] Nyanyikan Lagu ‘Sampai Menutup Mata’ Untuk Cinta, Elyana Buat Ramai Sebak

Penyanyi Elyana mengundang sebak peminat dan para pengikut di laman sosial Instagaram (IG)nya apabila memuat naik video mendendangkan lagu ‘Sampai Menutup Mata’.

Video tersebut dimuat naik Elyana pada malam Sabtu lalu ditujukan khas buat anak kesayangannya, Cinta Sumayyah, 10.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by elyanaofficial (@elyanaofficial1)

“Lagu untuk Cinta ku…”, tulis Elyana ringkas.

Sementara itu di ruangan komen rata-rata pengikut sebak mendengar nyanyian Elyana yang penuh penghayatan ketika mendendangkan lagu Acha Septriasa itu.

Malah, mereka turut mendoakan Elyana terus kuat berjuang melawan kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.

Dalam pada itu Elyana turut menerima kata-kata semangat daripada rakan-rakan seperjuangan dalam dunia seni seperti Almy Nadia, Amyza Adnan, Farhan AF, Haiza dan ramai lagi.

Elyana juga dilihat membalas komen-komen dan kata-kata semangat daripada para peminat dan sahabatnya pada posting berkenaan.

“Terima kasih kerana mendoakan saya…Semoga doa yang baik ini akan berbalik kepada awak semua,” tulisnya sambil meninggalkan emoji hati.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal pada tahun lalu mengakui kanser limfoma yang dihidapinya semakin serius.

Kanser tersebut sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal paha.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by elyanaofficial (@elyanaofficial1)

Bagaimanapun kata pejuang kanser ini, dia tetap berusaha kuatkan semangat untuk lebih sihat dan berfikiran positif setiap hari.

Berkongsi keadaan terkini, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia masih belum bersedia menjalani rawatan kemoterapi berikutan tubuhnya terlalu kurus.

“Saya tidak mendapatkan rawatan kemoterapi, sejak tahun lalu. Bukan sengaja tak nak dapatkan rawatan, tetapi berat badan susut membuatkan saya terpaksa menangguhkannya. Ini kerana bimbang tubuh tidak kuat untuk menanggung kesan rawatan. Selera makan saya pun berkurangan sejak itu.

“Berat badan saya mencecah angka 36 kilogram (kg). Bimbang dengan keadaan ini, saya memaksa diri makan walaupun rasa mual. Apabila tidak makan, perut menjadi kembung dan keras, mungkin disebabkan angin. Alhamdulillah, berat badan semakin meningkat sebanyak 44 kg sekarang,” katanya.

Elyana turut meluahkan rasa syukur kerana peminat tidak pernah jemu-jemu memberi semangat untuk berjuang melawan penyakitnya itu.

“Ketika bertemu doktor untuk menjalani ujian imbasan, saya dimaklumkan sel kanser semakin mengecil, tahun lalu. Tetapi, ada juga yang sudah merebak ke bahagian lain seperti tulang di pangkal paha. Justeru, doktor meminta saya segera menjalani rawatan susulan.

“Disebabkan itu, saya berusaha menambah berat badan demi mengembalikan tenaga supaya dapat meneruskan rawatan. Saya bersyukur peminat banyak membantu.

“Jika teringin makan apa-apa, mereka akan segera menghantar makanan ke rumah. Sebelum ini, ketika bersiaran secara langsung bersama peminat di Instagram (IG), saya ada menyebut teringin nak makan air batu campur (ABC). Tak lama kemudian, muncul orang menghantarnya depan rumah.

“Peminat sangat menyokong dan mahu melihat saya sihat seperti dahulu dan kembali aktif dalam bidang nyanyian. Malah, ketika sambutan ulang tahun, mereka menghadiahkan sebuah mikrofon,” ujarnya dalam nada terharu.

Selain berusaha menambah berat badan, penyanyi berusia 33 tahun itu juga cuba membuat lebih banyak pergerakan walaupun berdepan dengan risiko berikutan penyakitnya itu.

“Apabila selalu duduk di rumah tanpa buat apa-apa, badan jadi lesu. Jadi, saya ikut suami keluar membeli barang untuk keperluan restoran yang diusahakannya, walaupun saya tahu kesannya. Selalunya, apabila balik, saya akan demam. Maklumlah, antibodi sangat lemah.

“Sekarang ini, kalau keluar rumah pun, saya hanya pergi ke rumah emak. Apapun berlaku, saya tak pernah menyerah kalah. Sudah menjadi pegangan, Allah masih panjangkan umur saya. Jika saya putus harap, maknanya saya tak menghargai apa yang dikurniakan. Jadi, saya teruskan sahaja kehidupan seperti biasa,” tegas bekas peserta Gegar Vaganza musim keempat itu.

Beralih kepada kerjaya seni, Elyana teruja kerana hasrat untuk muncul dengan single terbaharu bakal menjadi kenyataan.

“Semua lagu sudah siap dan sepatutnya ia dirakamkan, tahun lalu. Bagaimana disebabkan situasi pandemik COVID-19. hasrat ini terpaksa ditangguhkan. Lagipun, saya memerlukan stamina kuat untuk masuk studio rakaman.

“Sekarang, saya sedang giat berlatih. Jika tiada aral melintang, saya akan masuk studio penghujung tahun ini. Sejujurnya, saya sudah tidak sabar menghadiahkan buah tangan terbaharu untuk peminat,”

Pada 2017, Elyana membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Lagu Sampi Menutup Mata nyanyian Elyana

 

View this post on Instagram

 

A post shared by elyanaofficial (@elyanaofficial1)

 

BACA: “Saya mahu menghargai saat-saat ini dengan rasa seronok” Perkembangan Terbaru Elyana

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.

Default image
admin
Articles: 818