[VIDEO] “Bukan biasa-biasa!” Ini Menu Hidangan Neelofa & Haris Untuk Tetamu Majlis Nikah

Perkahwinan selebriti terkenal Noor Neelofa dan Pencetus Ummah (PU) Haris Ismail sudah dijangka akan menjadi buah mulut ramai di media sosial.

Daripada busana pengantin, pelamin Jabal Rahmah, lilin mewah dari Paris iaitu Diptyque, doorgift yang mencecah RM600 setiap seorang sehinggalah kepada menu makanan atau bahasa mudahnya lauk kenduri.

Bukan biasa-biasa! Itu saja yang mampu diucapkan saat melihat senarai menu yang disediakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Di antara hidangan yang menjadi bualan ramai adalah Udang Galah Bakar Berempah dan Butir Nako.

Bagi yang tidak tahu, Butir Nako itu adalah Butir Nangka. Sejenis hidangan pemanis mulut tradisi dari pantai timur sama juga dengan kuih Lompat Tikam.

Memang sebati dengan Neelofa dan keluarga yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim.

Bagi yang terlepas pandang, kami kongsikan senarai penuh menu di hari bahagia Neelofa dan Haris:

Kudapan

  • Rempeyek
  • Kuih Loyang
  • Kuih Bahalu

Pembuka Selera

  • Kerabu Pais Aneka Laut

Sup

  • Sup Ekor Lembu Berempah

Sajian Utama

  • Ayam Masak Madu Tomato
  • Udang Galah Bakar Berempah
  • Daging Dendeng Berlada
  • Dalca Sayur Mamak
  • Nasi Biryani Utara

Pencuci Mulut

  • Butir Nako
  • Lompat Tikam
  • Buah-Buahan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Awal Ashaari ® (@awalashaari)

Rata-rata para peminat Neelofa terpesona dengan keindahan majlis pernikahannya itu dan kagum dengan hidangan makanan yang disediakan khas buat semua tetamu.

Terdahulu, pengacara dan usahawan terkenal ini sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya PU Riz dengan sekali lafaz tepat jam 11.43 pagi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Sabtu.

PU Riz atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, selamat melafazkan akad dengan berwalikan adik kandung Neelofa, Mohd Aqief Mohd Noor.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32 menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada pihak lelaki.

Menurut hos Next To Neelofa itu, pasangan itu turut memilih yang wajib sahaja sebagai hantaran.

“Kami hanya memberi yang wajib,bagaimanapun untuk mas kahwin saya telah menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki,” kata Neelofa dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohammad Al-Bakri selaku jurunikah.

Majlis pernikahan ini diadakan secara tertutup di Hotel Grand Hyatt, di ibu negara dan dihadiri ahli keluarga terdekat serta beberapa rakan selebriti yang lain.

Neelofa memilih busana rekaan Alia Bastamam untuk majlis akad nikahnya itu. Haris serta tetamu turut mengenakan pakaian rona putih sempena majlis pernikahan yang berlangsung dalam sebuah dewan yang indah dihiasi bunga segar putih.

Neelofa dan Haris sebelum ini telah selamat mengikat tali pertunangan pada 1 November 2020.

Kredit: YOY Network