“Isteri Adalah Jodoh & Teman Sejiwa, Bukan Pembantu Rumah” – Edika Yusof

Kesetiaan menjaga isterinya Norhidayah Yusri, yang lumpuh sejak 16 tahun lalu, pelakon Edika Yusof enggan mengulas pujian netizen yang membandingkan dirinya dengan orang lain.

Menurut Edika, dia tidak selesa apabila ada isu berkaitan rumah tangga selebriti, netizen akan membandingkan dengan kisahnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Edika Yusof (@edikayusofxx)

“Semua orang akan melalui dugaan masing-masing. Setiap perkahwinan juga ada dugaannya tersendiri.

“Bagi saya perkahwinan ialah tanggungjawab bersama dan susah senang kita mesti hadapi bersama. Isteri adalah jodoh dan teman sejiwa, bukan pembantu rumah.

“Bersama kita berkongsi tanggungjawab termasuk rutin harian, jaga anak, kerja-kerja rumah dan juga memasak,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon berusia 43 tahun itu berkata adalah tidak adil jika netizen menyentuh isu rupa dan kesetiaannya terhadap isteri dengan selebriti lain kerana siapa kita untuk menilai seseorang.

“Rupa tidak memainkan peranan. Setiap orang mempunyai cara dan pemikiran yang berlainan. Siapa kita untuk menilai mereka kerana kita juga tidak sempurna

“Apa yang boleh saya katakan di sini, mungkin saudara (selebriti) kita ada masalah tersendiri. Biarlah kita sama-sama belajar daripada kesilapan dan doakan yang baik-baik sahaja,” katanya.

Tidak menyangka perkongsian menyambut ulang tahun perkahwinan ke-18 tular di media sosial, Edika berkata dia setia menjaga isteri kerana cinta dan kasih sayang serta cuba menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik.

“Sejujurnya saya jarang buat hantaran berkenaan isteri saya. Tak sangka pula hantaran berkaitan ulang tahun perkahwinan kami menjadi tular.

“Berkenaan perkara ini, saya setia menjaga Isteri. Bagi saya, sebagai suami saya cuba menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya tanggungjawab adalah perkara utama dan keduanya disebabkan perasaan cinta dan kasih sayang. Saya bersyukur Allah panjangkan jodoh kami dan juga Allah berikan kami kekuatan dalam mengharungi dugaan ini,” katanya.