“Saya minta maaf tiga kali pada Intan.” – Izreen Azminda

Pelakon terkenal Izreen Azminda meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan dengan bekas isteri suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude iaitu Intan Liana Saleh pada rakaman program Melodi Raya baru-baru ini.

“Saya minta maaf tiga kali pada dia (Intan).”

Izreen, 36, atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam berkata, dia bersyukur apabila Melodi menjadi orang tengah untuk mempertemukan mereka selain menganggap doanya selama ini dimakbulkan Allah SWT.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Apabila pihak Melodi bertanyakan perkara ini, saya okay dan tidak ada apa-apa halangan. Bukan sebab ia untuk program, tapi saya memang sudah lama menantikan peluang ini.

“Apabila dia pun sudi dan bersetuju datang, bagi saya ia satu rahmat. Saya cakap pada diri, doa saya dimakbulkan Allah. Kiranya ini adalah pertemuan pertama kami selepas empat tahun.

“Bagi saya, apa saya nak buat selama ini, Melodi sudah realisasikan untuk saya. Ibaratnya Melodi menjadi orang tengah,” katanya kepada Harian Metro.

Izreen yang kini hamil anak ketiga berkata dia tidak melepaskan peluang itu dengan meminta maaf terhadap Intan.

“Sewaktu dia sampai, saya tegur dulu. Ketika naik pentas untuk memulakan rakaman, saya minta maaf padanya. Kali kedua ketika rakaman berlangsung dan ketiga sebelum pulang. Malah kami sempat bergambar bersama.

“Harapnya selepas ini baik-baik saja. Sebab saya sudah minta maaf. Walaupun ungkapan maaf itu ringkas, tapi ia ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam. Selebihnya terserah pada dia, samada nak maafkan atau tidak,” katanya.

Kisah membabitkan pertemuan Izreen dan Intan itu bakal ditayangkan pada program Melodi Raya di TV3, esok.

Berkongsi mengenai kehamilannya yang kini mencecah usia lima bulan, Izreen berkata pada awalnya dia mengalami alahan teruk.

“Alhamdulillah, sekarang ini semuanya okay. Cuma pada awal kehamilan saja yang mana alahan dirasai berbeza dengan dua anak sebelum ini.

“Kali ini sampai bau minyak masak pun tak boleh hidu. Jadi, saya tak masak. Masuk bulan keempat, semuanya kembali okay,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Izreen meraikan bersama suami dan anak mereka, Aaron Ibrahim serta ibunya.

Sementara anak sulungnya, Adrian Umar beraya bersama bekas suami juga pengarah, Muhammad Riza.

Terdahulu,  Intan Liana Saleh mengucapkan tahniah kepada Izreen yang ketika itu  sedang hamil.

Ucapan itu disampaikan Intan melalui jawapan kepada pengguna melalui Instastory.

“Alhamdulillah… Tahniah ex madu. Insya-Allah bonda pun berhak bahagia. Gitu. On the way lah ni ke jalan bahagia,” tulis Intan.

Pada tengah hari Jumaat, Izreen mengumumkan dia sedang meniti hari untuk menimang cahaya mata sulung bersama suaminya, Ude.

Izreen dan Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid berkahwin pada 8 Ogos 2018 di Damansara, Petaling Jaya secara tertutup.

Izreen pernah berkahwin dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza pada 2012 namun berpisah pada 2014.

Menerusi perkahwinan pertama, pelakon itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar, 5.

Manakala, Ude pernah mendirikan rumah tangga bersama Intan Liana Saleh pada Mac 2013 namun bercerai pada Mac 2018.

Hasil perkahwinan Ude dan Intan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 4 dan Ariq Murqi, 2 tahun.