“Jika tiada fitnah mabuk, mungkin abang boleh diselamatkan,” – Adik Pemandu Lori Luah Rasa Kesal

Sejak semalam, tular isu mengenai seorang pemandu lori yang menyebabkan kemalangan beberapa buah kereta dan meninggal dunia kerana sakit jantung.

Namun ada individu yang tidak bertanggungjawab menuduhnya mabuk dan menularkannya di media sosial.

Kesal dengan kejadian tersebut, adik kepada Ahmad Sukri Abd Samad iaitu Mohd Azmi Abd Samad mengatakan jika fitnah itu tiada, mungkin abangnya boleh dihantar lebih awal ke hospital dan mungkin berjaya menyelamatkan nyawanya.

Menerusi laporan Harian Metro, Ahmad Sukri, 49, yang juga pemandu lori disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sungai Buloh selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lori dipandunya dengan tiga kereta di Jalan BRP 8/2 Sungai Buloh pada Isnin lalu.

Mohd Azmi, 37, berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa abangnya itu kira-kira jam 12 tengah hari, Isnin sebelum bergegas ke hospital berkenaan.

“Ketika berada di hospital, saya ada dimaklumkan oleh kakak, Rosilawati Abd Samad, 47, bahawa ada video abang ketika kemalangan tetapi individu yang merakam video berkenaan memberi pelbagai alasan untuk tidak menunjukkannya kepada kami.

“Bagaimanapun, ada rakan sekerja arwah memaklumkan video berkenaan tular pagi semalam dan hanya ketika itu saya melihat isi kandungan video terbabit termasuk dakwaan individu yang mendakwa abang memandu dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia berkata, dia amat sedih dan terkilan dengan tindakan individu terbabit yang menyebar fitnah yang menjatuhkan maruah abangnya.

Katanya, dia dimaklumkan oleh kakaknya bahawa ada beberapa individu yang berada di lokasi mahu membantu arwah pada mulanya, namun tidak jadi berbuat demikian selepas mendengar fitnah daripada individu berkenaan.

“Selepas video itu tular, saya ada membaca komen di media sosial mengenai insiden itu selepas punca kemalangan terbabit dijelaskan dan boleh dikatakan kebanyakannya (komen) mendoakan arwah abang, namun ada juga komen yang menyalahkan dia.

“Ada komen yang mengecam arwah dengan menyatakan jika sudah tahu sakit jantung sepatutnya dia berhenti di tepi jalan kerana tindakannya boleh meragut lima nyawa yang lagi penting dari hanya nyawa dia seorang.

“Saya yakin jika abang boleh tahan sakit, pasti dia akan berbuat demikian tetapi siapa yang tahu derita kesakitan dilaluinya ketika itu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah berbincang dengan ahli keluarga yang lain untuk membuat laporan polis berhubung komen kecaman berkenaan, penyebar video terbabit serta individu yang memfitnah abangnya.

“Pada mulanya kami tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan namun selepas membaca komen-komen sedemikian, saya rasa kami perlu bertindak.

“Disebabkan itu, kami mahu membuat laporan polis berhubung perkara terbabit bukan kerana niat kami untuk menghukum mereka tetapi sebaliknya mahu ia dijadikan pengajaran kepada semua orang,” katanya.

Menceritakan mengenai keperibadian abangnya, Mohd Azmi berkata, arwah yang masih bujang adalah seorang individu yang baik kepada keluarga.

“Malah, abang ada membantu menyara kakak serta empat anaknya dari segi kewangan selepas kematian abang ipar pada 2017.

“Kehilangan dia amat besar impaknya bagi keluarga kami kerana kebaikannya,” katanya yang memaklumkan jenazah Ahmad Sukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, selepas Asar, semalam.

Semalam, media melaporkan pihak polis menafikan kemalangan membabitkan Ahmad Sukri akibat dia memandu lori dalam keadaan mabuk sebaliknya disebabkan serangan sakit jantung.

Sebelum ini, terdapat satu video tular berdurasi satu minit 18 saat mendakwa pemandu lori berkenaan mabuk dan melanggar tiga kenderaan lain.

Kredit: YOY Network