“Kau larikan duit aku RM149,400!” Wanita Dakwa Ibu Kutu Tipu, Mahu Viralkan Muka

Main kutu merujuk kepada sekumpulan individu menyumbang wang dalam kadar sama setiap bulan. Cabutan atau undian akan dilakukan untuk menentukan siapa berhak menerima duit kutu yang dikumpulkan itu secara bergilir-gilir. Ia memang dapat meringankan beban kewangan dan hutang.

Namun begitu, ada juga yang mengambil kesempatan akan sistem kutu ini, lagi-lagi yang menjaga duit tersebut yang dipanggil sebagai ‘ibu kutu’.

Kisah ini boleh dikaitkan dengan seorang wanita ditipu sebanyak RM149 000 dengan rakannya yang merupakan ibu kutu duit itu sejak Oktober 2021.

Tular di media sosial luahan ketidakpuasan hati seorang wanita mengenai rakannya yang didakwa culas membayar hutangnya (kutu) berjumlah RM149,400.

Menurut Scha Alleya, sejak bulan Oktober tahun lalu dia menunggu wanita yang dikenali sebagai Ila membayar hutangnya itu tetapi sehingga ke hari ini hutang itu masih belum habis dibayar.

Sebelum ini, Scha pernah meminta rakannya membuat bayaran bulanan sebanyak RM2,500. Tetapi tiada gunanya kerana si penghutang enggan berbuat demikian.

Kesabaran yang semakin hilang membuatkan Scha akhirnya mengambil keputusan untuk mendedahkan perangai wanita itu di media sosial. Lebih mengejutkan, wanita itu turut berhutang dengan orang lain yang melibatkan amaun ratusan/ribuan ringgit.

“Jarang aku nak viral orang, tapi sebab dah melampau sangat. Hang buat lari duit aku RM149,400 wey! Dari bulan 10 tahun lepas aku diam je sebab tak nak budak-budak tahu hal dia. Tapi makin hari makin hang pijak aku!

“Aku jenis payah nak viral orang, sebab malas nak buka aib sesiapa. Tapi makin aku diam, makin dia buat gila. Aku minta bayar sebulan RM2,500 pun hang tak boleh. Aku tak larat hadap dah, hang punca bagi aku kena dengan orang selama ni.

“Aku akan buat hang sampai dok dalam (penjara). Selama ini aku tak buat sebab aku fikir aib hang, aku fikir anak hang kecik lagi. Aku faham sebab aku ada anak juga. Tapi hang pijak aku. Lagi aku baik, lagi hang pijak. RM100 pun tak masuk dalam akaun aku langsung!,” tulisnya di Facebook.

Berdasarkan gambar yang dikongsi Scha Alleya, seramai 54 individu telah meminjamkan wang kepada wanita berkenaan dan jumlah keseluruhan hutang tersebut ialah RM367,218.

Bagaimanapun, wanita berkenaan meminta Scha memberinya tempoh untuk membuat pembayaran hutang itu setelah dia mendapat keuntungan dari perniagaan yang dijalankannya. Malah, dia meminta Scha tidak membabitkan suami, anak, keluarganya dan keluarga mentua dalam hal itu kerana mereka tidak tahu apa-apa.

“Family mertua hang tak payah kacau, family aku pun hang tak payah kacau. Aku yang buat salah. Mak ayah Ila pun tak ada kena mengena. Yang buat salah, Ila. Bukan mak ayah Ila,” katanya.

Susulan dari perkongsian tersebut, pelbagai reaksi turut diberikan oleh orang ramai dan ada pengguna yang berkongsi pengalamannya ditipu oleh pengendali kumpulan wang kutu.

 

Sumber: Facebook Scha Alleya