[VIDEO] “Keadaan Siti Sarah kini sangat tidak baik, oksigen tinggal 40” – Shuib

Penyanyi terkenal, Siti Sarah Raisuddin berada dalam keadaan kritikal dengan kadar oksigen pada kedudukan 40 peratus.

Berkongsi perkembangan terkini Siti Sarah, suaminya, Shuib berkata, doktor menghubunginya petang tadi memaklumkan keadaan terkini isterinya.

Dalam keadaan sebak, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata, Siti Sarah sudah ditiarapkan oleh doktor.

“Keadaan Siti Sarah tidak baik, sangat-sangat tidak baik. Kata doktor kadar oksigen hanya 40 dan doktor akan tiarapkan dia,” ujar pelawak dan usahawan itu dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi.

Kelazimannya, prosedur meniarapkan pesakit dilakukan bagi membolehkan paru-paru seseorang itu kembali normal dan dapat membekalkan oksigen ke dalam tubuh.

Shuib juga tidak dapat meneruskan kata-kata bagi memaklumkan perkembangan isterinya dan meminta bacaan Yassin dan doa selamat diteruskan.

Hampir 1,000 kenalan pasangan itu menyertai majlis bacaan Yassin dan doa selamat buat Siti Sarah termasuk pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan rakan-rakan selebriti seperti Anuar Zain, Bob Yusof dan Liza Hanim.

Siti Sarah, 36, yang yang popular dengan lagu Kesetiaan itu kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia selepas dikejarkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas disahkan positif.

Shuib memohon pada semua pihak untuk terus mendoakan isterinya agar kembali pulih seperti sedia kala.

@yoynetwork“Condition Sarah sekarang ni sangat2 tidak baik. Oksigen tinggal 40%” – Shuib♬ original sound – YOY.MY

Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.

Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.

Pada Sabtu, Shuib berkata, doktor yang merawat isterinya memaklumkan, Siti Sarah mula menunjukkan perkembangan positif dengan kadar oksigen sudah meningkat pada paras 80 peratus.

Sehubungan itu, Shuib memohon pada semua pihak untuk terus mendoakan isterinya agar kembali pulih seperti sedia kala.