“Baby dalam keadaan baik, tapi Sarah agak kritikal,” Shuib Kongsi Keadaan Terkini Siti Sarah

Selebriti popular, Siti Sarah Raisuddin selamat melahirkan anak keempat yang juga bayi lelaki secara pembedahan kira-kira jam 5 petang tadi.

Menurut pengurus Sarah, Nana Mohd Rom, keadaan penyanyi itu bagaimanapun masih sama dan belum sedarkan diri.

“Untuk makluman Siti Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi. Bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar.

“Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, suami Sarah, Shuib berkongsi status terbaru isterinya itu.

Menurut Shuib, bayi telah berjaya dikeluarkan pada jam 4 petang dan berada dalam keadaan baik.

Walau bagaimanapun, keadaaan isternya Sarah kini agak kritikal.

“Alhamdulillah pkl 4 lebih baby telah pon berjaya di keluarkan dan keadaan Baby alhamdulillah baik tp perlukan alat bantuan pernafasan kerana lahir pra matang,cuma keadaan Sarah agak KRITIKAL,”

Pada masa sama, Shuib memohon doa dari semua untuk kesihatan isterinya itu.

“SAYA SEKELUARGA MOHON SEMUA TERUSKAN DOA UTK SITI SARAH,, UGA KITA DOAKAN SEMOGA SESIAPA SAJA YG SEDANG BERTARUNG NYAWA DGN COVID DIPERMUDAHKAN URUSAN,AMIN”

Sebelum ini media melaporkan Sarah terpaksa ditidurkan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah paras oksigen dalam badannya semakin menurun pada pagi Jumaat.

Sarah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM sebelum ini dikenali sebagai HUKM) pada malam Rabu.

Menurut pengurusnya iaitu Nana, paras oksigen pada Siti Sarah kini semakin baik tetapi untuk faktor keselamatan kandungannnya dia terpaksa dibedah.

“Doktor memaklumkan jam 2 petang ini Siti Sarah akan dibedah bagi menyelamatkan bayi yang dikandung.

“Insya-Allah dengan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua.

“Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa kita semua.”

Sebelum ini Shuib berkongsi di laman Instagram miliknya mengenai keadaan isterinya itu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

Shuib berkata isterinya ditempatkan di ICU selepas doktor mendapati keadaannya tidak berapa stabil sejak petang semalam.

Shuib turut memohon doa kesembuhan buat isteri dan bayi dalam kandungan.

“Assalamualaikum, salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik,” kata Shuib di akaun Instagram.

Sarah, Shuib dan tiga orang anak disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai lalu setelah pembantu rumah dijangkiti virus itu.

Terdahulu, Siti Sarah menyatakan kebimbangannya mengenai kesihatan dan bayi dalam kandungannya selepas seorang pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19.

“Saya mohon di hari baik sempena Jumaat ini, doakanlah Sarah dan anak dalam kandungannya. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka.”

Difahamkan, Siti Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin pada hari kelmarin, sebelum mengalami batuk.

Menerusi perkongsian di laman sosial, Sarah berkata mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah mereka didapati positif virus berkenaan, Ahad lalu.

“Ini semua ketentuan Allah, kami menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada.

“Mohon semua doakan kami sekeluarga dapat mengharungi 14 hari ini, kami serahkan semuanya kepada Allah,” ujar penyanyi lagu Semakin ini.

Menurut Sarah, dia menganggap ada hikmah di sebalik yang berlaku dan mahu terus berfikiran positif.

“Semua urusan perniagaan dan perkara lain berjalan seperti biasa. Pihak admin akan muat naik di Instagram ini bagi pihak saya,” jelasnya.

Sarah yang sarat hamil tujuh bulan juga tidak dapat menyembunyikan kebimbangan mengenai bayi dalam kandungannya, selain keadaan anak-anaknya yang demam.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Sarah meluahkan rasa bimbang memikirkan anak-anak serta bayi dalam kandungannya jika dia dan keluarganya turut dijangkiti virus maut tersebut.

“Jantung ini macam nak jatuh bila pembantu rumah saya positif Covid-19. Sarah tak fikir apa-apa dah selain risau anak-anak dan bayi dalam perut ini,” katanya.

Lebih membuatkan dia bimbang apabila ketiga-tiga anaknya kini sedang demam sekali gus membuatkan dirinya gusar memikirkan nasib yang bakal dilaluinya nanti.

“Ya-Allah berderau darah. Macam-macam benda saya fikir kalaulah saya dan suami (Shuib) positif, bagaimana dengan anak-anak?

“Kalau anak-anak juga positif, siapa yang nak jaga mereka dekat pusat kuarantin nanti? Minta dijauhkan yaAllah,” tulisnya dalam Instagram.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, mendirikan rumah tangga pada 2011.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.