“Kita sudah ada senarai…” Selebriti, Ahli Perniagaan ‘Cuci Wang’ Macau Scam Dalam Senarai SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai senarai individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan yang dikesan terbabit dalam aktiviti ‘mencuci’ wang sindiket Macau Scam.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki, berkata individu terbabit diminta menghadirkan diri di SPRM, sebelum dipanggil untuk membantu siasatan.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa (selebriti) yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya.

“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana sindiket), sila datang kepada SPRM… jika kita panggil sudah tentu ia tidak berapa cantik. Datang pada kita dan kita akan layan dengan baik.

“Kita sudah ada senarai… namun kita tidak mahu menggunakan ayat menyerah diri, tetapi mahu guna ayat yang paling lembut iaitu tampil kepada kita,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm.

Ketika ditanya mengenai sejauh mana individu terbabit mengetahui pembabitan sindiket dalam perniagaan mereka, Azam menegaskan mustahil mereka tidak tahu kerana wang itu kebiasaannya diserahkan dalam bentuk tunai.

“Jenayah pengubahan wang haram ini membabitkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank, yang mana wang itu perlu di cuci.

“Mereka yang menerima wang itu tidak boleh tidak tahu atau berkata mereka tidak tahu.

“Kerana apabila kita siasat, kita akan siasat sampai ke mana wang itu berada (diserahkan). Menubuhkan perniagaan adalah antara cabang wang ini dicuci,” katanya.

Terdahulu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengesan dan menahan beberapa individu, dan membekukan 750 akaun membabitkan nilai RM75 juta.

Sindiket ini juga menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Selain itu rumah dan beberapa buah kereta mewah serta motosikal juga turut disita bagi membantu siasatan.

Antara jenama kenderaan mewah tersebut ialah Rolls-Royce, Lamborghini, Nissan, Lexus, Chevrolet, Toyota, Ford, Mercedes, Subaru, Audi, Harley Davidson dan lain-lain.