Lapangan Terbang Antarabangsa Mersing Akan Dibina – Menteri Besar Johor

Ini adalah berita baik buat penduduk Mersing dan juga pencinta alam semulajadi terutamanya pantai yang cantik dan air laut yang jernih.

Semua orang tahu daerah Mersing dikelilingi dengan pulau-pulau yang sangat cantik seperti Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Aur dan Pulau Tioman.

Selepas ini mungkin lebih mudah untuk anda menjejakkan kaki di Mersing kerana kerajaan negeri Johor akan membina lapangan terbang antarabangsa Mersing dalam tempoh terdekat bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata pada masa ini dua lokasi sudah dikenal pasti dan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian terperinci kesesuaian tanah.

“Kami bercadang membina lapangan terbang antarabangsa yang boleh menerima penerbangan terus dari Batam, Indonesia, selain Phuket, Thailand atau Singapura namun hanya membabitkan penerbangan tambang rendah,” katanya.

Osman berkata, pembinaan lapangan terbang itu dimasukkan ke dalam Pelan Pembangunan Mersing dan menunggu keputusan kajian serta peruntukan Kerajaan Pusat.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan mengalihkan pejabat kerajaan di Mersing ke kawasan baru yang terletak tidak jauh dari kawasan bandar.

Katanya, selain itu kerajaan akan membina jambatan, mendalamkan sungai serta membina pemecah ombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.