Lelaki Jaja Cerita 14 Ahli Keluarga Meninggal Kerana C19, Petronas Keluarkan Kenyataan

Tular di media sosial baru-baru ini, kisah dijaja pihak yang mendakwa kononnya seorang lelaki bertugas di Petronas di Pengerang di sini kehilangan 14 insan kesayangan termasuk isteri dan lapan anak akibat jangkitan C19.

Mengikut maklumat yang tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook, seorang lelaki dikatakan berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga September ini.

Dikatakan juga, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penyelia dikatakan kehilangan isteri dan tiga anaknya meninggal dunia pada bulan Jun dan Julai akibat virus C19.

Menurut kisah itu, pada 2 September lalu, lima anaknya bersama ibu, kakak, barang ipar dan dua anak saudara juga kononnya terkorban, malah turut disertakan nama mangsa iaitu ahli keluarga lelaki berkenaan.

Simpati dengan kisah yang diceritakan, ada dalam kalangan pengguna media sosial bertindak menyalurkan sumbangan ke akaun bank dikongsi, malah ada yang mengadakan sebuah majlis Yasin secara maya yang disertai ratusan individu.

Rentetan daripada itu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan seorang pekerja kontraktornya di Kompleks Bersepadu Pengerang ditahan pihak berkuasa untuk siasatan atas dakwaannya kehilangan ramai ahli keluarga disebabkan C19.

Petronas dalam kenyataan medianya malam tadi berkata, lelaki terbabit juga ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa terhadap sumbangan yang diterimanya selepas dakwaan itu.

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan terbabit.

“Kami ingin menekankan bahawa kami tidak berkompromi dengan salah laku oleh mana-mana pekerja dan kontraktor kami.

“Kesemuanya terikat dengan tata kelakuan dan etika perniagaan yang ketat (CoBE) semasa berkhidmat untuk Petronas dan kumpulan syarikat kami,” kata kenyataan itu.

Malam tadi, polis mengesahkan menyiasat aduan penipuan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat C19 yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Siasatan dijalankan susulan laporan yang dibuat seorang pegawai Petronas Pengerang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora mengesahkan kes itu diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu tular di WhatsApp dan Facebook dengan dakwaan kononnya seorang lelaki yang bertugas di Petronas di Pengerang kehilangan 14 insan tersayang termasuk isteri dan lapan anak akibat C19 baru-baru ini.

Bersama kenyataan itu turut tular permintaan bagi menyalurkan sumbangan ikhlas kepada lelaki terbabit bagi meringankan bebannya.

Default image
admin
Articles: 750