“Mungkin kami menggunakan Skype..” Didakwa Bertunang Dengan Gadis Terengganu, Ini Penjelasan Zizan Razak

Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak menjelaskan satu laporan dari Astro Gempak yang mengatakan dia sudah bertunang dengan gadis yang berasal dari Terengganu.

Menerusi artikel tersebut, Zizan menafikannya dan menganggap dakwaan tersebut sebagai satu doa.

“Saya pun pertama kali dengan dakwaan ini. Mana datangnya berita saya bertunang? Saya pun tak tahu.

“Sejujurnya, memang tak ada. Saya sendiri tiada teman wanita sekarang ini, saya memang solo.

“Kalau itu adalah doa, saya terima dengan sebaiknya. Tapi, buat masa ini saya memang tidak bertunang dengan sesiapa,” kata Zizan.

Zizan ditemui usai konsert finale Ceria Megastar 2020 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Tambah Zizan, dia juga tidak akan menyembunyikan berita gembira sekiranya ia benar-benar terjadi.

“Sudah semestinya saya akan berkongsi dengan semua orang jika saya bakal menempuhi fasa bahagia atau permulaan baru. Saya tak akan berdiam sahaja,” katanya lagi.

Di konsert finale Ceria Megastar yang menobatkan Kowachee sebagai juara, Zizan bertindak selaku juri tetap.

Menerusi muat naik terbaru di laman Instagram miliknya, Zizan memberikan respons terhadap artikel yang dikeluarkan tersebut.

“Tahniah Zizan Razak. Dengan Berita Yang Sangat Membahgiankan Ini. Yang Menjadi Persoalanya Start Dari Awal Pkp Sampai Sekarang Saya Belum Dapat Balik Terengganu Lagi.

“Jadi Gadis Terengganu Mana Yang Menjadi Tunang Saya Itu?? Mungkin Petunangan Kami Dengan Menggunakan Skype Atau Nawaitu Sahaja..”

Dalam perkembangan terbaru, Zizan Razak bakal membintangi filem Hantu Bonceng 2 dan ia bakal bersiaran di Astro First.

Filem Hantu Bonceng sebelum ini merupakan sebuah filem genre aksi Komedi yang ditayangkan pada 31 Ogos 2011 di Malaysia.

Filem ini diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Ahmad Idham dan dibintangi oleh Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz dan Taiyuddin Bakar.

Sepanjang tempoh tayangannya di pawagam, ia menerima sambutan yang amat hangat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.