[VIDEO] “Seolah-olah otak di lutut,” Polis Mahu Siasat Pembaca Berita, Ini Kenyataan Awani

Sejak belakangan ini, isu mengenai pelanggaran SOP oleh peniaga sehingga mereka dikenakan kompaun yang tinggi mencecah RM50 ribu menjadi perbualan hangat di media sosial.

Malah turut tular di media sosial sebelum ini mengenai pembaca berita yang berani menyuarakan isu mengenai peniaga dikenakan kompaun di kaca televisyen dengan lantang.

Menimbulkan fitnah dan bangkitkan kebencian

Menerusi laporan Berita Harian, kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu pembaca berita di sebuah stesen televisyen yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap kes pembaca berita sebuah stesen televisyen yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Sengaja mengaibkan dengan niat bangkit pecah keamanan

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, sehingga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, terutama pasukan PDRM.

Kes masih dalam siasatan polis

“Ini kerana tindakan yang dilakukan PDRM itu berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi tujuan mengekang pandemik,” katanya.

Acryl Sani mengulas insiden seorang pembaca berita yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika membaca laporan berita. Hingga kini kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000

Laporan berkenaan berhubung kejadian seorang peniaga burger di Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jangan timbulkan fitnah dan kebencian terhadap pihak berkuasa

Dalam perkembangan lain, Acryl berharap segelintir pihak di negara ini untuk tidak menimbulkan isu fitnah dan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

Tindakan sedemikian sebenarnya akan menyebabkan keharmonian antara agensi penguat kuasa, terutama pasukan polis dan masyarakat terhakis.

Jangan sebarkan sebarang kenyataan tidak berasas

Katanya, masyarakat diminta untuk menghayati kembali prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang dipelajari sejak dari bangku persekolahan.

“Kita berharap supaya masyarakat di luar sana untuk tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas di media sosial sehingga boleh menghakis keharmonian di antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.”

Majukan permasalahan guna saluran yang betul

“Saranan saya, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa juga tindakan yang diambil oleh agensi penguat kuasa, sila majukan sebarang permasalahan yang dihadapi menggunakan saluran yang betul,” katanya.

Polis dan masyarakat saling memerlukan dan budaya menularkan perkara-perkara yang tidak berasas berhubung ketidakpuashatian terhadap agensi penguat kuasa, semakin hari semakin membimbangkan.

Perkara ini seolah trending 

“Saya perhatikan perkara ini seolah-olah menjadi satu ‘trending’ dan sekiranya tidak diatasi, kita bimbang ia akan menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada pihak polis.”

“Justeru saya minta kepada semua pihak untuk menggunakan saluran yang betul dan tidak cuba menyebarkan sesuatu perkara tidak berasas atau yang belum diketahui lagi asas kebenaran dan kesahihan maklumatnya,” katanya.

Pembaca berita berani suarakan isu kompaun 

Terdahulu, berita seorang peniaga burger yang dikenakan kompaun dengan jumlah yang tinggi telah mendapat perhatian ramai.

Menerusi laman Twitter, netizen memberi pujian terhadap pembaca berita Astro Awani kerana berani menyuarakan isu kompaun tersebut di kaca televisyen.

Ramai yang hidup secara ala kadar

“Sekarang ni ramai yang hidup secara ala kadar, ketika otak yang letaknya di atas, ada yang bertindak seolah otak di lutut.”

“Mengenakan kompaun RM50 ribu kepada peniaga kecil yang hanya berniaga di kampung sendiri.”

Kompaun di luar pemikiran insan

“Usaha itu dibuat kerana ada yang menanggung sehingga 11 sekeluarga. Sudah pulangan tak seberapa, jumlah kompaun langsung di luar pemikiran insan.”

Menurut pembaca berita Awani, tindakan pihak berkuasa mengenakan kompaun terhadap peniaga kecil seolah-olah tidak masuk akal kerana mereka bergelut dengan pelbagai cabaran tatkala negara sedang dilanda wabak.

Peniaga boleh membuat rayuan pengurangan jumlah kompaun 

Ibarat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang, peniaga ini terpaksa berniaga dalam apa keadaan sekali pun demi menyara keluarga.

Namun pihak polis dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu peniaga yang dikompaun boleh membuat rayuan pengurangan jumlah kompaun tersebut.

Terbaru menerusi muat naik di laman Instagram, Awani dalam satu kenyataan memberikan sepenuhnya kerjasama terhadap PDRM.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AstroAWANI (@501awani)

“Astro AWANI akan memberi kerjasama penuh kepada @pdrmsia_official berhubung siasatan berkaitan kontroversi penyampaian berita Awani745 mengenai isu kompaun RM50,000 terhadap dua peniaga kecil di Kelantan.”