[VIDEO] “Kesian Uncle tu,” Suzuki Swift Yang Rempuh, Pakcik Myvi Pula Yang Dituduh Bersalah

Pagi tadi satu rakaman ‘dashcam’ tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta Suzuki Swift merempuh tiga kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru, GeorgeTown.

Menerusi laporan Utusan Online, tiga kenderaan lain yang terbabit adalah Perodua Myvi, Toyota Vios dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat sebelum dirempuh pemandu Suzuki Swift.

Namun begitu, warganet di laman Twitter bersimpati dengan nasib pemandu Myvi yang telah dipersalahkan oleh beberapa orang awam kononnya menjadi punca kemalangan tersebut berlaku.

Menerusi muatnaik klip video @amiragilbert_, dapat dilihat seorang lelaki tua yang merupakan pemandu Perodua Myvi dituduh melanggar lampu isyarat padahal individu yang menjadi punca masih tersepit di dalam kereta Suzuki Swift pada ketika itu.

“Kenapa nak marah uncle ni? Bukan dia yang bawa Swift tu. Dia driver Myvi putih yang ada dekat depan sekali dengan traffic light tu. Muka dia tengah terkejut tu. Kesiannya,” tulis @amiragilbert_.

Menerusi laporan media, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 2.50 petang Khamis, 1 April 2021, kereta Suzuki Swift dipercayai hilang kawalan lalu merempuh dua kereta dan motosikal yang berhenti di lampu isyarat.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), malangnya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Malah tiga lagi mangsa yang lain membabitkan lelaki berusia antara 24 hingga 51 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.53 petang.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dikerahkan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa. Sebaik saja dikeluarkan, mangsa terus diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Kredit: YOY Network