Pemandu SUV Rempuh Kedai Makan Dipercayai Mabuk, Hampir 10 Orang Tercedera

Baru-baru ini tular di sosial media seorang lelaki dipercayai mabuk merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.

Menerusi video tersebut kelihatan hampir 10 orang dirempuh oleh pemandu Honda HR-V yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan itu membabitkan tiga buah kenderaan, dua pejalan kaki dan lapan pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran berkenaan kira-kira jam 8.30 malam tadi.

“Kemalangan itu berlaku ketika Honda HRV yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 57 tahun berkenaan dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan yang dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar kereta jenis Lexus 2.5 yang diparkir menunggu di bahu kiri jalan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sarifudin, pelanggaran itu mengakibatkan kereta Lexus terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan.

Akibat rempuhan itu, katanya, kereta Perodua Axia itu kemudian melanggar lapan pelanggan yang sedang makan di luar restoran itu dan dua pejalan kaki.

“Dalam kemalangan itu, pemandu Lexus dan lapan pelanggan restoran serta dua pejalan kaki mengalami kecederaan dan menerima rawatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dua daripada 10 individu yang cedera dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat rapi di hospital.

Sarifudin berkata, saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Video yang tular di sosial media: