Pesta Arak ‘Oktoberfest’ di Shopping Mall Boleh Diteruskan – Datuk Bandar KL

DBKL tidak menghalang pesta arak ‘Oktoberfest 2018’ yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah hari ini selagi ia tidak melanggar undang-undang, lapor Astro Awani.

Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, ia mengambil kira pesta di kompleks membeli-belah itu dijalankan secara tertutup dan tidak dilakukan di kawasan terbuka.

Foto: Mgs.org.my

“Oktoberfest itu kalau dalam premis tidak ada keluar, tidak ada mabuk kacau orang dalam premis tidak apa sebab mereka memang jual arak, alkohol di dalam tu.”

Nor Hisham juga dalam masa sama mengesahkan DBKL sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan pesta arak.

“Kalau minum dalam premis tu, minumlah tapi kalau letak iklan besar-besar itu tidak boleh, itu kita akan turunkan bagaimana kita telah buat terhadap iklan yang dipasang di Sungai Besi kita turunkan serta merta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018, di sini, hari ini.

Walaubagaimanapun, pemantauan akan tetap dilaksanakan terhadap penganjuran pesta arak di pusat membeli-belah terbabit untuk memastikan ia tidak dibawa keluar.

“Memang setakat ini saya tidak menerima sebarang permohonan. Kita pergi (buat tinjauan) sebab ia di dalam. Tapi kita tetap akan pantau, jika dibawa keluar kita sita,”katanya.

Sebelum ini Menteri Wilayah, Khalid Samad mengatakan pesta arak ‘Oktorberfest 2018’ boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang telah ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Khalid berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah hanya orang bukan Islam dibenarkan terlibat dan mesti diadakan di tempat tertutup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.