“Rasa kesian sangat” Pemuda Seronok Potong Barisan, Akui Rasa Bersalah Tengok Orang Lain Beratur Panjang

Perkara yang paling merimaskan adalah ‘beratur panjang’ tidak kira lah di supermarket, di pasar malam, di mall ataupun di gerai-gerai. Manakan tidak, jika terlalu lama, boleh lenguh kaki berdiri.

Apatah lagi bila kita pergi ke mana-mana taman tema, sudahlah bayar mahal, pasti kita ingin merasai pengalaman untuk menaiki semua permainan yang disediakan tanpa membuang masa untuk beratur lama menunggu giliran.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini, lelaki yang dikenali sebagai Azri Hashim, 25, berkongsi pengalaman ketika melawat Sunway Lagoon pada waktu puncak cuti persekolahan bersama rakan-rakannya.


Dalam satu video yang tular di TikTok, Azri telah membeli tiket ekspres untuk memasuki Sunway Lagoon dan dia mampu memotong barisan yang panjang dan berliku-liku.

“Kami tahu Sunway Lagoon waktu hari cuti mesti pack habis. Sebab itu kami memang dah rancang beli tiket ekspres.”

“Kalau tiket biasa banyak masa akan terbuang untuk beratur sahaja. Dengan tiket ekspres kami tak perlu beratur dan terus jalan sahaja.”

“Kami boleh manfaatkan masa sebaik mungkin untuk cuba semua jenis permainan yang ada dekat dalam tu,” ujarnya

Pun begitu, dia akui merasa serba salah melihat pengunjung lain terpaksa ‘bersidai’ dan beratur dalam barisan panjang sedangkan mereka diberikan layanan karpet merah.


“Bila kita potong tu, orang semua memang tengok-tengok kita. Siap ada yang tanya sesama kawan mereka macam mana nak dapat keistimewaan macam kami.”

“Rasa kesian sangat. Bayangkan kami dah habis naik permainan itu, kami nak naik sekali lagi, kami nampak orang sama masih beratur cuma berganjak ke depan beberapa langkah sahaja.”

“Dah dekat tiga kali kami naik turun permainan tetapi mereka itu masih beratur lagi di tempat hampir sama,” ceritanya.


Selain itu, Azri juga menerima pelbagai jenis pandangan daripada pengunjung lain yang beratur ketika dia dan rakan berjalan melepasi barisan panjang, tak ubah seperti orang kenamaan.

“Ada sesetengah yang pandang serong dekat kami. Mereka pandang kami atas bawah sebab kami dah enjoy sepuasnya tetapi mereka masih lagi dalam barisan.”

“Waktu kami nak masuk rumah hantu, ada seorang tanya dekat kami berapa harga tiket ekspres itu. Memang nampak dia berminat bila tengok kami boleh jalan terus,” katanya.


Azri berpendapat, kemudahan dan kelebihan yang dinikmati adalah setimpal dengan harga tiket ekspres yang bernilai RM230 manakala harga tiket biasa pula ialah RM150.

“Pukul 10 pagi Sunway Lagoon buka pagar kami dah start main. Kami balik rumah pukul 6 petang bila dah nak tutup pagar.”

“Semua permainan dalam itu kami tak sia-siakan, memang kami cuba main sepuas-puasnya,” katanya.

Sebelum ini Azri pernah berkunjung ke Sunway Lagoon sebanyak lapan kali dan ini merupakan kali pertama dia membeli tiket ekspres.

“Saya dah pernah lalu barisan panjang yang semua orang lalu tu. Saya pernah ada dekat tempat mereka. Saya tahu perasaannya macam mana. Menunggu itu satu penyeksaan.”

“Itu yang saya rasa serba salah bila saya guna kelebihan tiket ekspres ini,” luah Azri.

“Sangat berbaloi tiket ekspres ini. Kita tak nak buang masa dekat satu permainan sampai sejam atau dua jam. Kita nak cuba semua permainan.

“Tapi kalau semua dah mula beli tiket ekspres, mesti beratur panjang juga nanti macam tiket biasa. Jadi jangan beli,” katanya berjenaka.

Video yang tular:

@azri_volley19 Kami sapu hbs barisan org😂😂#fyp #fypシ ♬ original sound – azriiii_