“RM1.2 bilion bagi meningkatkan syiar Islam” – Lim Guan Eng

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi meningkatkan syiar Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara.

Menurut Menteri Kewangan, jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding peruntukan RM1.1 bilion pada tahun lepas.

Guan Eng berkata langkah tersebut dibuat bagi memastikan perkembangan syiar Islam tidak terjejas walaupun negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.

“Selain itu, sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Lim turut menjelaskan kerajaan akan menggerakkan inisiatif Khaira Ummah bagi melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz (ahli hafiz al-Quran) dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Lim juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM125 juta bagi institusi berkaitan Islam yang berdaftar.

Peruntukan yang disediakan ialah sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah tahfiz dengan masing-masing mendapat RM50 juta, selain sekolah pondok sebanyak RM25 juta.

Peruntukan itu diumum bersama bantuan untuk institusi lain iaitu:

• Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;

• Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;

• Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;

• Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;

• Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;

• Sekolah Mubaligh – RM50 juta;

• Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta; dan

• Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.

*Akan dikemaskini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.