RM3.6 Juta Kos Pilihan Raya Kecil Port Dickson

Pilihan raya kecil P132 Port Dickson ditetapkan pada hari Sabtu, 13 Oktober 2018 manakala hari penamaan calon pada 29 September 2018, lapor The Star.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Oktober 2018 sebagai hari pengundian awal. Timbalan Pengerusi SPR,  Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR di Putrajaya.

Foto: NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil tersebut, SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson dan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya.

Menurut beliau, PRK kali ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta iaitu melebihi PRK lalu kerana Parlimen ini mengandungi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya di mana kawasannya agak luas.

Tempoh Berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 12 Oktober 2018.

“SPR juga akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” ujarnya.

Kata Othman, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK Port Dickson adalah sehingga suku kedua tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Sept.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.”

Kerusi Parlimen Port Dickson telah dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Photo by Angie de Silva/Rappler

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, Danyal Balagopal telah memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional dan calon Pas.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.