“Saya Terkejut & Kecewa, Baju Itu Direka Untuk Wanita Free Hair,”

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai pelakon Natasha Hudson yang dikecam teruk berikutan pakaiannya yang mendedahkan bahagian bahu dikatakan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung.

Akui terkejut apabila koleksinya itu dipakai oleh selebriti bertudung, pereka fesyen popular, Rizman Ruzaini berkata gaun itu telah dibeli seseorang tidak diketahui identitinya menerusi dalam talian sejak tiga bulan lalu.

“Baju tersebut adalah koleksi pakaian pengantin yang telah dibuat sejak tiga tahun lalu dan telah dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus.

“Sejujurnya, sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seseorang yang berhijab. Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizaman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Sudah banyak bekerjasama dengan amai selebriti berhijab tanah air, Rizman akui marah apabila mendapat tahu tentang perkara itu kerana baju itu direka untuk wanita free hair.

“Sejujurnya saya marah juga apabila mendapat tahu dia (Natasha Hudson) yang memakai baju itu kerana dia berhijab. Rekaan baju tersebut direka untuk wanita free hair (tidak berhijab) dan pernah digayakan oleh aktres Fasha Sandha,” katanya.

Dalam pada itu, Rizman sempat memberi teguran kepada penatarias yang menggayakan Natasha pada majlis tersebut supaya lebih peka dengan imej seorang wanita muslim serta menjaga sensitiviti masyarakat.

Semalam media mealporkan Natasha Hudson mengaku enggan melayan kerenah dan kata-kata dari netizen mengenai gaun berwarna putih yang menampakkan sebahagian bahunya.

Natasha memakai gaun berkenaan ketika menjayakan sebuah majlis pelancaran produk yang menyaksikannya sebagai wajah dan ikon produk bersama aktor kacak, Keith Foo yang merupakan dutanya.

Pakaian berkenaan menerima banyak komen dalam media sosial sementelah Natasha sendiri telah memuat naik gambar berkenaan dalam akaun Instagramnya.

“Penata gaya telah dilakukan oleh pihak pengasas produk dan saya tiada masalah untuk menggenakan gaun tersebut kerana ia masih lagi berlapik dan bukan seperti apa yang difikirkan orang.

“Jangan tertipu dengan warna kain ini dan saya tiada masalah untuk menggayakannya kerana ia mengikut tema majlis.

“Ini bukan pelancaran kedai mamak, ini majlis pelancaran produk! Tambahan pula saya bukan selalu mengenakan gaun,” katanya.

Natasha berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran produk tersebut yang dilakukan di Menara Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam pada itu, kata Natasha warganet perlu matang dalam memberi komen atau melemparkan pandangan kerana ini berkaitan dengan kerjayanya.

“Saya pun malas nak dengar kata-kata orang sebab orang di luar tidak akan berhenti bercakap walau apa pun yang kita buat.

“Saya tak kisahlah. Lagipun bukan mereka yang menyuapkan makan,” katanya.

Sebelum ini, Natasha memberitahu dia kini tidak perlu lagi memakai niqab dan hanya akan memakainya jika perlu.

“Because the niqab is just… not needed.

“Everyone who makes a big fuss out of it should just… go through a journey of yourself and go figure.

“Will wear it when I find it compulsory,” tulis Natasha berserta tanda pagar #nonsenseattimes, #basicallyresettingmydeen, #mindyourownbusiness, #dontDMmeadviceandsuchplease dan #nottheendoftheworld.

Bagaimanapun, ruangan komen pada foto terbabit telah ditutup dan terkini, kapsyen itu telah dipadamkan dan hanya digantikan dengan emoji ‘love’.

Natasha telah melangsungkan perkahwinan dengan usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor pada awal Disember 2018.

Sebelum itu pada Oktober lalu, Natasha mengakui telah bercerai dengan bekas suaminya, Carleed Khaza yang dinikahi pada April 2012.

Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Naeema Kalila dan Faatimah.

Untuk rekod, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 dan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007.