Sewa Kereta Mewah & Berlakon Kaya, Lelaki Ini Tipu 6 Janda Muda Kaya

Pada zaman yang serba canggih kini, boleh dikatakan ramai masih menggunakan aplikasi cari jodoh untuk mencari pasangan.

Biarpun begitu, anda seharusnya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan kerana kita tidak mengenali siapa yang kita sedang berhubung.

Terbaru, seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak menipu sejumlah wanita, semuanya janda menggunakan aplikasi janji temu.

Lelaki yang berumur 28 tahun dari Garut, Jawa Barat itu dipercayai telah menukar nama beberapa kali, bermula dengan Reski, Ferizal, Helski, Roni serta Jayadi, dan benar-benar mahukan harta mangsanya.

“Ini sebenarnya aplikasi untuk mencari jodoh. Setelah berkenalan, dia berjanji, misalnya, dia ingin menikah tetapi pada kenyataannya itu hanya modus operandi atau janji yang ditawarkan oleh pelaku sebagai pujukan,” kata Ketua Polis Semarang, Irwan Anwar.

Difahamkan, Pelaku yang juga dikenali sebagai Yandi mengambil masa sebulan untuk mendekati mangsa-mangsanya. Yandi memberikan janji manis kepada mangsa dan juga mengajak melakukan hubungan seks serta meminta wang dengan alasan perlukan modal kerja.

“Dia membuat janji manis kepada mangsa bahawa dia ingin diajak melakukan hubungan seks dan bahkan memberikan wang dengan alasan modal kerja.

“Ternyata dijanjikan lebih dari satu orang. Rata-rata, mereka masih muda. Sasarannya adalah janda yang kaya,” jelas Irwan.

Menurut laporan, pelaku mengaku kepada mangsa bahawa dia bekerja di sebuah syarikat minyak. Yandi juga kemudiannya mendapatkan kereta sewa dan berpura-pura kaya.

Malah, Yandi turut meminta wang kepada mangsa dan ada juga yang menyerahkan 80 juta rupiah (RM23,300) serta wang sewa kereta itu sebenarnya diperoleh daripada mangsa.

Kesemua mangsa adalah janda muda yang kaya dan Yandi yang ditangkap pada 1 September lalu didakwa dengan Artikel 378 Kanun Jenayah atas penipuan serta berdepan hukuman penjara hingga empat tahun.

“Dengan menggunakan kereta sewa, saya mengaku bekerja di sebuah minyak (syarikat). Wang untuk menyewa kereta itu berasal dari wang mangsa.

“Sebilangannya mencecah 80 juta rupiah,” kata Yandi.

Bagi yang masih mencari pasangan melalui applikasi mencari jodoh, kenali dahulu hati budi masing-masing dan juga kenali latar belakang bakal pasangan, jangan teralu ‘rushing’ untuk mempunyai pasangan sehingga menjadi manga penipuan di alam maya.