Sultan Selangor Titah JAIS Untuk Tidak Menyekat Festival Bon Odori

Festival Bon Odori yang telah lama disambut sejak beberapa dekad dahulu di Malaysia kini menjadi isu dan menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat penganjuran festival Bon Odori serta menghalang mana-mana individu yang ingin menyertainya.

Dalam kenyataan hari ini, JAIS berkata, Sultan Sharafuddin turut mengarahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menghadiri festival berkenaan bagi “melihat sendiri” apa yang berlaku.

Untuk pengetahuan semua, festival Bon Odori pada tahun ini dianjurkan semula oleh masyarakat Jepun di Malaysia selepas dua tahun disebabkan pandemik di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor,” kata Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Kelab Jepun Kuala Lumpur, iaitu salah satu penganjurnya menyifatkan Bon Odori mula diadakan di Malaysia pada 1977 sebagai “acara kecil-kecilan” oleh ekspatriat Jepun untuk membolehkan anak-anak mereka mendalami budaya Jepun.Tambahnya, festival berkenaan berkembang menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu dan disertai oleh kira-kira 35,000 orang setiap tahun.

6 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati festival itu mempunyai unsur keagamaan lain.

Kenyataan yang dibuat turut disokong oleh Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Nor. Beliau menasihatkan umat Islam tidak terlibat kerana dibimbangi membawa kepada perbuatan syirik.

Mengulas lebih lanjut, Sultan Sharafuddin tidak berkenan dengan keputusan dan ketetapan berhubung festival ini disimpul secara terburu-buru tanpa usul periksa.

Menurut Sultan Sharafuddin, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya. Baginda menegaskan bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengetepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata Mohd Shahzihan.

Menerusi carian di laman Malaysiakini, Bon Odori ialah adat resam masyarakat Jepun yang beragama Budha sebagai menghormati roh nenek moyang mereka. Ia secara tradisinya berlangsung selama tiga hari dari hari ke-15 bulan kesembilan dalam kalendar lunar Cina/Jepun.

Perayaan ini mempunyai asal usul yang sama seperti Perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat di China, termasuk orang Cina di Malaysia.