“Tabung Haji contoh pengurusan goblok” – Anwar Ibrahim

Meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu langkah yang penting ke arah menumpukan semula kepada tujuan asalnya, kata Anwar Ibrahim.

Walaubagaimanapun, katanya, banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi kawal selia, tetapi tidak mengulas lanjut.

Photo by Angie de Silva/Rappler

Anwar berkata TH merupakan institusi yang baik, tetapi telah disalah urus oleh pihak yang menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi, katanya kepada pemberita pada Majlis Simposium Tahunan mengenai Kewangan Islam Kali Keempat di Kuala Lumpur.

“TH merupakan satu contoh bagaimana pengurusan yang ‘goblok’ (bodoh) yang merosakkan dan mengkhianati amanah. Ia bukan salah institusi, bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang telah menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat dan tindakan harus diambil ke atas mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata Tabung Haji akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid berkata Kabinet telah memberikan sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini.

Fungsi SPV ialah mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah selain menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.

Sementara itu, Anwar berkata sistem kewangan Islam perlu mempunyai peralihan yang jelas dan membincangkan isu-isu, termasuk kemiskinan.

“Sejak beberapa dekad ini, isu ini telah diketepikan. Bagaimanapun, pada masa ini, ia agenda utama institusi kewangan Islam, termasuk bank-bank yang memberi tumpuan kepada komuniti pada amnya. Menjana pertumbuhan bukan hanya mempunyai sistem yang halal, tetapi ia juga perlu adil dan menggalakkan kesaksamaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.