“Tempat tu macam keras”, Badan Terasa Berat Ketika Berenang, Wanita Panik Tengok Suami Hampir Lemas Depan Mata!

Aktiviti bermandi manda sama ada di tasik ataupun laut sememangnya memberi ketenangan namun kita perlulah sentiasa berhati-hati dan beringat untuk memakai ‘life jacket’ supaya tiada perkara buruk yang berlaku.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini, wanita ini berkongsi detik cemas dia dan suaminya ketika melancong ke Tasik Dayang Bunting, Langkawi ini telah mencuri perhatian ramai.


Memetik laporan mstar, suaminya kelihatan sedang bergelut kerana hampir lemas namun insiden itu tidak disedari orang sekeliling termasuk isterinya.

“Saya memang tak pandai berenang, saya rendam kaki je dekat Tasik Dayang Bunting dan saya jadi tukang rakam percutian kami tu.

“Suami saya yang pergi turun mandi dengan kawan-kawan dia. Saya rakam dia mandi dari atas sambil mengejek dia. Apabila dia berendam nampak macam memerang.

“Mula-mula dia cuba berenang pergi dekat saya tapi tak sampai-sampai. Saya nampak dia tenggelam naik. Kakak ipar dekat sebelah terus jerit beritahu dia tengah lemas tu,” ceritanya


Natasha mengakui dia terkejut kerana suaminya boleh dikatakan handal berenang setelah kerap bercuti ke pulau-pulau dan aktiviti rekreasi air sudah menjadi kebiasaan untuknya.

“Saya ingat dia main-main, saya tak sangka dia tengah lemas. Kakak ipar saya dah panik.

“Saya terus tutup phone dan jerit minta tolong sebab memang tak ada siapa yang perasan walaupun dekat situ ramai orang.

“Saya tengok suami dah tenggelam, nasib baik dekat tepi situ ada kawan dia. Mereka tarik dia dan bawa dia naik atas,” kata Natasha bersyukur suaminya terselamat.

Dalam pada itu Natasha sempat menceritakan semula keadaan suaminya ketika kejadian hampir lemas itu.

“Dia cakap badan dia rasa berat. Waktu dia berenang ke arah saya tu dia jadi semput nak kayuh dan rasa macam lambat nak sampai.

“Nak jerit tolong pun tak boleh. Tak keluar perkataan tu.

“Itu yang dalam video tu nampak dia tenggelam timbul cuba nak ambil nafas,” ujar Natasha.

Sebelum kejadian tersebut, Natasha memberitahu suaminya berdegil untuk tidak memakai jaket keselamatan kerana beranggapan ia ‘membosankan’.

“Suami saya cakap besar, buat apa nak pakai jaket keselamatan kalau pandai berenang. Saya suruh dia pakai juga tapi dia tak nak.

“Dia tak terfikir yang air tawar dan air laut berbeza. Tasik Dayang Bunting ini air tawar. Dia biasa pergi mandi dekat air laut saja.

“Mula-mula dia turun pakai jaket sebab takut tour guide marah tapi bila duduk dengan kawan, dia buka balik,” rungut Natasha dengan sikap suaminya itu.

Selain itu, Natasha menyatakan Tasik Dayang Bunting mempunyai kedalaman air 10 meter dan mereka yang mandi di situ tanpa jaket keselamatan perlu sentiasa mengayuh kaki untuk kekal terapung.

“Dasar di Tasik Dayang Bunting ni memang tak nampak terus. Orang dewasa kalau masuk kaki tak sampai. Gelap dekat bawah tu.”

“Saya baca komen netizen dekat video saya pun ramai cakap Tasik Dayang Bunting ni dah ada banyak mangsa.”

“Tempat itu macam ‘keras’. Suami saya pun cakap dia pelik macam mana boleh lemas sebab dia dah berenang dekat lombong sana sini tak pernah jadi macam tu,” dakwa Natasha.

Serik dengan pengalaman yang dilalui, Natasha menasihatkan orang ramai untuk tidak bercakap besar ketika memasuki tempat baharu.

“Pergi Tasik Dayang Bunting tu hati-hati. Pakai life jacket. Dan mulut kena jaga sebab kita dekat kawasan terpencil.

“Tempat yang kita tak biasa, jadi jaga tingkah laku kita dan ikut je peraturan dekat situ,” kata Natasha mengakhiri bicara.

Video yang tular:

@taca_fitri Sebab mangsa mula2 ckp besar so dia dgn berani cabut lifejacket time masuk dlm tasik dayang bunting. Time nie sje2 rakam tak sngka plak betul2 lemas. #tasikdayangbuntinglangkawi🤰🏼 #tasikterseramdimalaysia ♬ bunyi asal – norshieba – Pakteh_garage