“Tidak wajar pertuduhan dibicarakan melalui media oleh Menteri yang masih mentah” Haji Hadi Awang

PAS melalui Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memandang serius terhadap tuduhan yang berlaku dalam Tabung Haji sebagai institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia.

Beliau menegaskan, parti itu berpandangan tidak wajar sekiranya pertuduhan itu dibicarakan melalui media oleh “seorang menteri yang masih mentah”, sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.

“Saya mengikuti pendedahan terbaru ke atas pihak TH melibatkan aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.

“PAS berpandangan tidak wajar sekiranya pertuduhan itu dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang masih mentah, ” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof mendedahkan Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion dan melanggar syarat pembayaran hibah (dividen) kerana membuat bayaran ketika liabilitinya melebihi aset.

Kenyataan Media Presiden PAS

INTEGRITI TABUNG HAJI

1. Saya mengikuti pendedahan terbaru ke atas pihak Tabung Haji, melibatkan aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.

2. PAS memandang serius terhadap tuduhan yang berlaku di dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia ini, namun PAS berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang Menteri yang masih mentah, sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.

3. PAS menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen, bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik, sebelum dilaksanakan oleh pihak Kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri.

4. PAS juga menasihatkan agar Kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej Tabung Haji, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini.

5. PAS meletakkan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme di pihak Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Tabung Haji dalam melaksanakan tugas bagi melindungi kepentingan para pendeposit Tabung Haji. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Rabiul Akhir 1440 / 12 Disember 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.