Warga ATM ‘Haram’ Tik Tok – Kementerian Pertahanan

Kementerian Pertahanan Malaysia mengharamkan semua anggotanya memuat naik video melalui aplikasi TikTok dengan berpakaian uniform berkuatkuasa hari ini.

Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kenyataan berkata, pihaknya mendapati penggunaan aplikasi TikTok menjadi semakin tular dalam kalangan warga ATM.

“Ia dilihat menjejaskan mutu perkhidmatan ATM dan oleh itu, adalah diingatkan bahawa di bawah Perintah Am ATM Bil 3/2013 : Garis Panduan Media Sosial ATM, warga ATM bertanggungjawab mematuhi tatacara dan kriteria semasa memuat naik kandungan ke media sosial.

“Antaranya ialah tidak menjejaskan imej ATM, kedua, tidak mempunyai niat secara sengaja atau tidak bagi mengaibkan individu ataupun kumpulan tertentu dan terakhir ialah tidak memuat naik gambar yang melambangkan anda sebagai tentera,” katanya.

COOC dalam kenyataan sama turut mengingatkan anggotanya bahawa mereka bukanlah artis dan menjadi bahan publisiti murahan.

“Berhenti memalukan diri sendiri dan ATM,” demikian tegas kenyataan tersebut.