Wawa ‘Wahid Enterprise’ Direman, Pakaian Dirampas

Wanita yang tular dalam rakaman mengugut anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, di Kota Kinabalu, pada 17 Jun lalu direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.

Menerusi laporan Harian Metro, wanita berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Lintas, di sini, jam 11.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, polis merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.

Katanya, polis turut mengambil tiga telefon pintar milik anggota polis yang bertugas bagi membantu siasatan lanjut.

“Pakaian yang dirampas itu bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai oleh wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video.

“Ketika insiden itu, polis mengeluarkan saman terhadap wanita terbabit atas kesalahan tamat tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan.

“Bagaimanapun berlaku kekecohan sehingga wanita terbabit mengeluarkan kenyataan ugutan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut mengambil keterangan daripada seorang pegawai dan tujuh anggota serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan lengkap akan diserahkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan sudah meliputi 80 peratus dan wanita itu juga memberikan kerjasama yang amat baik sejak ditahan,” katanya.

Terdahulu, wanita yang berasal dari Sabah tular di media sosial berikutan tindakannya meninggi suara dengan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas disaman kerana cukai jalan dan insuran tamat tempoh.

Menerusi perkongsian di laman sosial Twitter, akaun Jabatan Netizen Malaysia berkongsi sebuah video wanita yang dikenali sebagai Wawa dari Wahid Enterprise ini untuk tatapan umum.

Tinggi suara pada anggota polis

Di dalam klip video berdurasi kurang dua minit itu menunjukkan tiga orang anggota polis berdiam diri saat ‘dibebel’ wanita tersebut.

Difahamkan, wanita itu yang turut tersenarai di dalam 100 Wanita Inspirasi Sabah Tahun 2021 ini menggunakan cukai jalan yang sudah tamat tempoh sejak Januari lalu.

BACA: “Setengah jam cuba kembalikan kau balik,” Keluarga Terkejut Remaja ‘Pergi’ Tiba-tiba

Dalam pada itu di ruangan komen, tindakan wanita tersebut mengundang pelbagai reaksi wargamaya.

Rata-ratanya berasa kasihan melihat keadaan anggota polis berkenaan yang cuba untuk mengawal situasi.

“PDRM boleh je keluar kan satu saman lagi kat dia kerana caci seorg pegawai berkuat kuasa. Tambah lagi caj. Biadap lagi, terus gari. Bawa ke Balai Polis Enterprise. Duk sana satu malam tunggu bicara. Berani dia,” komen seorang wargamaya.

“Taknak komen tapi haihh.. buat malu org pakai tudung je pakaiannya. Yang tak pakai tudung pun takdalah sampai macam tu,” luah seorang wargamaya.

“Roadtax mati bulan 1.. Kalau baru mati lain la cerita,” kata seorang netizen.

“Takat bawak lexus roadtax pun tak up to date (secretary/PA tak ada ke tolong buat kerja remeh mcm ni?) takyah nak sembang sombong lah kak,” tulis seorang netizen.

“Wahid Enterprise ni mesti lagi power dari Megah Holdings,” usik seorang netizenlagi.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat lebih 27,000 tontonan dan 400 tanda suka daripada warga Twitter.