Denda, Penjara Hingga 3 Tahun Jika Tak Solat Fardhu

Orang Islam yang dikesan sengaja meninggalkan solat fardhu di negeri Terengganu boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, lapor Sinar harian.

Mereka yang tiada alasan munasabah meninggalkan solat fardu boleh didakwa di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu, kata Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri.

“Bagi kesalahan itu, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tindakan yang dikenakan terhadap umat Islam di negeri ini adalah satu pelaksanaan yang relevan, tegasnya.

Tambahnya lagi, masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH menerusi pelaksanaan undang-undang.

“Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat.”

Beliau juga berkata pihak Jabatan Agama akan memberi peringatan dalam bentuk tulisan, lisan dan ceramah.

“Bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula, peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, secara lisan melalui ceramah selain turun padang mendekati masyarakat terutama golongan remaja hari ini bagi memberi kesedaran dan mengingatkan kepada mereka tentang pentingnya menjaga solat fardu,” katanya.

Sementara itu, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah, kata Nik Zuhaiza.

“Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya,” ujarnya.

Kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil.

“Di bahagian penguatkuasaan, kami akan pastikan kempen kesedaran kepada umat Islam selari dengan penguatkuasaan yang diambil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.